Sabtu, 13 April 2019 | 12:24am
BEREGU campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing. - Foto Aswadi Alias

Kian Meng-Pei Jin nyala harapan

KUALA LUMPUR: Kebangkitan beregu campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing nyata bukan sekadar memberi ‘harapan palsu’.

Pasangan ke-26 dunia itu terus mempamerkan aksi cemerlang apabila mara ke separuh akhir Terbuka Singapura selepas menewaskan beregu Indonesia, Ricky Karandasuwardi-Pia Zebadiah Bernadet 22-20, 14-21, 21-18 pada aksi suku akhir.

Ia adalah pentas separuh akhir kedua-dua berturut-turut buat Kian Meng-Pei Jing selepas turut melakar pencapaian sama ketika Terbuka Malaysia, minggu lalu.

Seperti Terbuka Malaysia, skrip sama juga dihidangkan pada saingan Terbuka Singapura selepas mereka menjadi wakil tunggal negara yang layak ke kelompok empat terbaik.

Pasangan itu akan berdepan beregu Indonesia, Hafiz Faizal-Gloria Emanuelle Widjaja yang mara selepas menewaskan gandingan profesional, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying 21-18, 12-21, 16-21.

“Sebenarnya, prestasi kami tidaklah begitu baik kerana ini adalah kejohanan kedua beturut-turut dan kami sudah mula rasa sedikit keletihan.

“Namun, apa yang postifnya, kekuatan mental kami semakin meningkat dan itu membuatkan kami boleh bertahan,” kata Pei Jing.

Mengulas mengenai pertembungan dengan Hafiz-Gloria, Pei Jing berkata ia pentas untuk mereka menamatkan kemarau kemenangan ke atas pasangan nombor sembilan dunia itu selepas tewas dalam kedua-dua pertemuan sebelum ini.

“Namun, kelebihan tetap memihak kepada mereka. Lagipun, mereka menang dengan Peng Soon-Liu Ying hari ini, jadi itu pasti akan meningkatkan tahap keyakinan mereka.

Sementara itu, cabaran beregu lelaki profesional negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong berakhir selepas tewas kepada bekas juara dunia yang juga pilihan keempat dari Indonesia, Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan 21-18, 16-21, 17-21.

864 dibaca
Berita Harian X