Sabtu, 13 April 2019 | 3:51pm
BEREGU campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing cemerlang apabila mara ke final badminton Terbuka Singapura, sebentar tadi. - NSTP/Syarafiq Abd Samad

Kian Meng-Pei Jing mara final Terbuka Singapura

KUALA LUMPUR: Beregu campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing cemerlang apabila mara ke final badminton Terbuka Singapura, sebentar tadi.

Kejayaan itu hadir selepas beregu ke-26 dunia itu menewaskan gandingan Indonesia, Hafiz Faizal-Gloria Emanuelle Widjaja 21-16, 20-22, 22-20 dalam aksi separuh akhir yang berlangsung selama 76 minit.

Lebih manis, ia adalah pentas final pertama Kian Meng-Pei Jing dalam tempoh dua tahun sejak kali terakhir melakukannya dalam saingan Masters Malaysia pada Januari 2017.

Ketika itu mereka muncul juara selepas menewaskan rakan senegara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie dalam aksi final - gelaran terakhir Kian Meng-Pei Jing di pentas antarabangsa.

Kian Meng-Pei Jing yang turut cemerlang ketika saingan Terbuka Malaysia, minggu lalu sehingga mara ke separuh akhir akan bertemu beregu Thailand yang juga pilihan ketiga, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree TAerattanachai bagi perebutan gelaran juara, esok.

1803 dibaca
Berita Harian X