Ahad, 14 April 2019 | 4:50pm
BEREGU campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing gagal dalam usaha untuk menamatkan kemarau kejuaraan selepas tewas kepada gandingan Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai. - Foto AFP

Kian Meng-Pei Jing tewas final Terbuka Singapura

KUALA LUMPUR: Beregu campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing gagal dalam usaha untuk menamatkan kemarau kejuaraan selama lebih dua tahun apabila terpaksa berpuas hati dengan gelaran naib juara Terbuka Singapura.

Beregu ke-26 dunia itu terpaksa akur dengan kehebatan pilihan ketiga dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai apabila tewas 14-21, 6-21 dalam aksi final, sebentar tadi.

Bagaimanapun, kejayaan mara ke final di Singapura masih boleh dianggap pencapaian membanggakan buat mereka yang sebelum ini mengalami kemerosotan prestasi sejak dua tahun terakhir.

Kali terakhir beregu ini melangkah ke final adalah pada saingan Masters Malaysia 2017 yang turut menyaksikan mereka muncul juara.

Apa pun, kebangkitan semula Kian Meng-Pei Jing dilihat tepat pada masanya menjelang pusingan kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang akan bermula 1 Mei ini.

Kian Meng-Pei Jing akan mengalihkan fokus terhadap persiapan bagi menghadapi Terbuka New Zealand yang bakal bermula 30 April ini.

1154 dibaca
Berita Harian X