Isnin, 15 April 2019 | 10:57pm
PENGERUSI Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Howard Lee dan Naib Presiden Persatuan Lawn Tenis Perak, Fazwil Abdul Wahid pada sidang media di Ipoh, hari ini. - Foto Abdullah Yusof

Ipoh tuan rumah ITF World Junior

IPOH: Ipoh akan menjadi tuan rumah kejohanan Persekutuan Tenis Antarabangsa (ITF) World Junior bermula 21 hingga 28 April ini yang akan menghimpun pemain tenis antarabangsa dari 25 negara.

Kali terakhir Perak menjadi tuan rumah kejohanan ITF World Junior adalah lima tahun lalu pada 2014.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Howard Lee, berkata bagi pertandingan itu Perak akan diwakili Mitsuki Leong yang juga pemenang pingat emas Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) terbuka bawah 18 tahun yang juga seorang pemain tenis berkaliber dan banyak mewakili negara dalam beberapa siri kejohanan bertaraf antarabangsa. 

"Pemain tenis wanita yang akan mewakili Perak pula adalah Hannah Yip, yang juga seorang pemain tenis berkaliber yang disegani dan digeruni di negara ini," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Hadir sama, Naib Presiden Persatuan Lawn Tenis Perak, Fazwil Abdul Wahid.

Antara negara yang akan menyertai ITF World Junior minggu hadapan adalah India, Sri Lanka, Britain, Amerika Syarikat, Australia, New Zealand, Uzbekistan, Russia, Taiwan, Jepun, Hong Kong, Indonesia, Belanda serta beberapa lagi negara.

Howard berkata, pada masa sama, kejohanan turut menganjurkan klinik mini tenis untuk memberikan pendedahan kepada kanak-kanak yang berminat untuk menceburi sukan tenis bertaraf dunia.

"Penganjuran acara ini juga bakal memberi peluang kepada pemain negara untuk beramah mesra dengan pemain tenis antarabangsa.

"Program ini di bawah seliaan Majlis Sukan Negara, MSSM dan Pejabat EXCO Pembangunan Belia dan Sukan ini turut mendapat tajaan bukan tunai daripada pelbagai pihak," katanya.

Beliau berkata, penganjuran acara itu juga selari dan selaras dengan objektif serta hala tuju kerajaan negeri untuk menjadikan Ipoh sebagai destinasi sukan bertaraf antarabangsa yang turut menyediakan pelbagai kemudahan sukan bertaraf dunia.

Katanya, dengan penganjuran ITF World Junior di Ipoh, ia diharap akan dapat menjadi batu loncatan kepada pemain tenis di negeri ini untuk bersaing dengan lebih baik di peringkat antarabangsa selain penghormatan buat Perak.

161 dibaca
Berita Harian X