Selasa, 16 April 2019 | 12:05am
PENGARAH Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann. - Foto Saddam Yusoff

Choong Hann sudah dapat ilham

KUALA LUMPUR: Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann sudah mempunyai bayangan pemain yang akan disenaraikan bagi membawa cabaran skuad negara menghadapi Piala Sudirman di Nanning, China, bulan depan.

Bagaimanapun, Choong Hann menegaskan senarai akhir pemain hanya akan diputuskan selepas perbincangan bersama barisan jurulatih termasuklah sama ada mahu menyenaraikan pemain profesional atau sebaliknya.

"Bayangan itu memang sudah ada kerana seperti yang kita tahu, kita tidak mempunyai banyak pilihan dari aspek pemilihan pemain. Situasi kita tidak sama seperti negara kuasa besar yang lain.

"Ini semua saya akan bincangkan bersama barisan jurulatih kerana sudah pasti kami mahu menyenaraikan yang terbaik bagi mewakili negara," kata Choong Hann kepada BH Sukan.

Mengenai pemilihan pemain profesional, Choong Hann mengakui bukan mudah untuk membuat keputusan memandangkan pencapaian yang dihasilkan mereka tidaklah begitu jauh jika dibandingkan dengan pemain naungan BAM.

"Apa yang pasti, kami memang mempertimbangkan pemain profesional untuk berada dalam pasukan. Namun, pelbagai faktor perlu diambil kira.

"Kalau lihat pencapaian, tidaklah jauh bezanya dengan pemain muda negara. Lagi satu, adakah mereka juga benar-benar bersedia jika dipanggil untuk beraksi dalam Piala Sudirman," katanya.

Antara pemain profesional yang dalam pertimbangan ketika ini adalah perseorangan lelaki, Liew Daren; beregu lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying.

884 dibaca
Berita Harian X