Khamis, 18 April 2019 | 5:09pm
GOH Soon Huat-Shevon Lai Jemie. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
Chan Peng Soon-Goh Liu Ying. - Foto Syarafiq Abd Samad
Tan Kian Meng-Lai Pei Jing. - Foto Syarafiq Abd Samad

Persaingan hebat beregu campuran ke Olimpik Tokyo

KUALA LUMPUR: Hanya acara beregu campuran yang dilihat ketika ini berpeluang cerah untuk mempunyai dua wakil layak ke Sukan Olimpik 2020 di Jepun berdasarkan pencapaian semasa.

Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing antara tiga gandingan yang berpotensi menggalas cabaran Malaysia di Tokyo.

Ketiga-tiganya bersaing hebat bagi menempatkan diri dalam kelompok lapan terbaik dunia sebelum tamat kempen kelayakan yang bermula bulan depan hingga April 2020.

Ketika Peng Soon-Liu Ying dan Soon Huat-Shevon dianggap di landasan tepat untuk layak ke Tokyo berdasarkan ranking dunia masing-masing di kedudukan kelima dan kesembilan namun persaingan daripada Kian Meng-Pei Jing tidak boleh dipandang mudah.

'Kelahiran semula' Kian Meng-Pei Jing pastinya menggugat dua pasangan utama negara itu dalam misi ke Tokyo 2020 susulan kejayaan mereka mara sehingga separuh akhir Terbuka Malaysia.

Setiap negara dibenarkan mempunyai dua wakil beraksi di Olimpik sekiranya berada dalam kelompok lapan terbaik dunia sebaik tamat pusingan kelayakan.

Jurulatih beregu campuran negara, Chin Eei Hui, menyifatkan persaingan antara ketiga-tiga pasangan itu sebagai petanda yang cukup positif bagi merebut tempat ke Tokyo.

"Saya fikir ini akan menjadi persaingan yang sihat membabitkan ketiga-tiga pasangan itu. Apabila ada persaingan yang hebat, barulah mereka boleh meningkatkan prestasi dengan cepat," katanya.

Eei Hui turut berpendapat Peng Soon-Liu Ying yang kini bergerak secara profesional masih sandaran terbaik negara berdasarkan pengalaman mereka berbanding Soon Huat-Shevon dan Kian Meng-Pei Jing.

"Peng Soon-Liu Ying masih yang terbaik. Selain memiliki kedudukan ranking yang lebih baik, mereka jauh lebih berpengalaman. Jika menentang sesama mereka pun, Peng Soon-Liu Ying ada kelebihan kerana mereka lebih matang dalam permainan.

"Namun, jurang sudah tidak jauh dari aspek permainan dan prestasi," kata Eei Hui.

Berita Harian X