Jumaat, 19 April 2019 | 11:45am
Rafael Nadal (kanan) dan Novak Djokovic menempah tempat ke suku akhir tenis Monte Carlo Masters.

Nadal, Djokovic tempah tiket suku akhir Monte Carlo

MONACO: Juara bertahan Rafael Nadal dan pemain pilihan Novak Djokovic tampil dengan persembahan memukau apabila menempah tempat ke suku akhir tenis Monte Carlo Masters, awal pagi tadi.

Nadal yang memburu gelaran ke-12 di Monte Carlo, mudah menjinakkan pemain Bulgaria, Grigor Dimitrov 6-4 6-1.

Selepas bangkit daripada ketinggalan dalam mata pertama, Nadal mula menyerang Dimitrov di sebelah kirinya menerusi pukulan padu dan tepat untuk mendahului set pertama 3-1.

Jaguh Sepanyol berusia 32 tahun itu terus memerangkap Dimitrov untuk memenangi set pertama sebelum mencatat kemenangan selesa pada set berikutnya sekali gus mara ke suku akhir buat kali ke-15 di Monte Carlo.

Pilihan kedua, Nadal nyata gembira dengan kejayaannya mengetepikan dua pemain di dalam kelompok 30 terbaik dunia - Dimitrov dan Roberto Bautista - dan keadaan sukar di gelanggang Court Rainier III pada minggu ini.

"Pada dua pusingan pertama saya bermain cukup baik untuk menang. Saya mencatat pungutan mata set yang baik ke atas dua pemain yang hebat," kata Nadal.

"Pada set kedua (terdapat) beberapa kesilapan dan angin kencang menyukarkan aksi hari ini. Ini adalah sebahagian daripada perlawanan dan saya hanya perlu bersedia dalam apa jua cara sekalipun."

Selepas bergelut mendapat rentak dalam aksi pembukaan menentang Philipp Kohlschreiber, Djokovic menampilkan persembahan lebih meyakinkan ketika menumbangkan Taylor Fritz 6-3 6-0 dalam aksi pusingan kedua.

Kini Djokovic hanya dipisahkan tiga perlawanan lagi daripada menyamai rekod Nadal yang memenangi 33 gelaran siri 1000 ATP Masters dengan dia seterusnya akan berdepan Daniil Medvedev bagi pertarungan merebut slot separuh akhir. - REUTERS

121 dibaca
Berita Harian X