Jumaat, 19 April 2019 | 7:05pm
JAGUH perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei. - Foto Yazit Razali

Chong Wei belum pasti ke Piala Sudirman

KUALA LUMPUR: Jaguh perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei hanya ada masa dua minggu bagi membuktikan dia sudah bersedia sekiranya mahu membuat kemunculan semula pada saingan Piala Sudirman di Nanning, China bermula 19 hingga 26 Mei depan.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dijangka mengumumkan senarai pemain akan membawa cabaran negara ke Nanning hujung bulan ini dengan tarikh tutup pendaftaran akan berakhir pada 3 Mei depan.

Ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek mengakui nama Chong Wei berada dalam pertimbangan bagi disenaraikan dalam pasukan.

"Sudah pasti nama Chong Wei ada (dalam pertimbangan) namun saya perlu menilai lagi. Setiap mata adalah penting untuk pasukan, jika Chong Wei diturunkan adakah dia mampu menandingi pemain perseorangan lelaki nombor satu dari negara lain...itu yang paling penting.

"Namun, jika tidak, saya masih ada beberapa lagi pilihan. Sekarang ini, apa yang saya lihat latihannya masih belum mencapai tahap sebenarnya, dia masih lagi berhati-hati.

"Latihan dia sekarang biasa saja. Kalau betul dia mahu bermain, dia perlu terus berusaha lagi meningkatkan intensiti latihannya. Sama ada dia akan disenaraikan atau tidak, saya tidak boleh cakap sekarang atas beberapa faktor.

"Yang paling penting, saya akan menilai semua faktor. Itu janji saya," kata Misbun ketika ditemui selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara, hari ini.

Kali terakhir Chong Wei yang juga pemenang pingat perak Olimpik tiga kali beraksi dalam kejohanan adalah pada Terbuka Indonesia, Julai tahun lalu sebelum disahkan menghidap kanser hidung.

Selepas terpaksa menarik diri daripada saingan Terbuka Malaysia, awal bulan ini susulan gagal mendapat lampu hijau daripada doktor pakar merawatnya, Piala Sudirman menjadi satu lagi peluang untuk bekas pemain nombor satu dunia itu membuat kemunculan semula tetapi ia dianggap tipis.

Mengulas lanjut, Misbun turut memberitahu dua pemain perseorangan profesional, Liew Daren dan Chong Wei Feng turut berada dalam pertimbangan untuk disenaraikan ke Nanning.

"Dalam pasukan kebangsaan kita ada Lee Zii Jia, Cheam June Wei dan Soong Joo Ven. Namun, saya juga membuat penilaian ke atas Daren dan Wei Feng.

"Kalau ikutkan, secara dasarnya memang sudah nama pemain yang ingin disenaraikan dalam fikiran saya tetapi kami akan ada mesyuarat dengan C&T (Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan) dan ketika itu baru kita boleh putuskan.

"Saya akan lihat secara keseluruhan sebelum buat keputusan dan perkara utama yang diambil kira adalah sasaran diletakkan BAM," katanya.

456 dibaca
Berita Harian X