Jumaat, 19 April 2019 | 7:36pm
BEREGU campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie. - Foto Luqman Hakim Zubir

BAC: Soon Huat-Shevon tarik diri

 

KUALA LUMPUR: Beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie sekali lagi diuji apabila terpaksa menarik diri daripada saingan Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Wuhan, China yang akan bermula Selasa ini.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menerusi laman Instagram badan induk itu memaklumkan pasangan nombor dua negara itu membuat keputusan berkenaan selepas Soon Huat mengalami kecederaan hamstring.

"Pemain beregu campuran negara, Goh Soon Huat terpaksa menarik diri daripada Kejohanan Badminton Asia susulan mengalami kecederaan hamstring di kaki kiri," kata kenyataan ringkas dimuat naik di laman Instagram BAM.

Ini adalah kali kedua dalam tempoh tiga minggu Soon Huat-Shevon menarik diri selepas turut mengambil keputusan sama sebelum aksi pusingan kedua Terbuka Malaysia, awal bulan ini.

Ketika itu, Soon Huat mengalami pening kepala ketika menjalani latihan di sebelah pagi.

Dengan kedudukan ranking mereka yang jatuh lima anak tangga di kedudukan ke-13 dunia dalam kemas kini terbaru dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) minggu ini, ia jelas tamparan buat Soon Huat-Shevon menjelang pusingan kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

565 dibaca
Berita Harian X