Jumaat, 19 April 2019 | 8:18pm
M Thinaah.

Thinaah tukar acara

 

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan wanita, M Thinaah mengikut jejak langkah beberapa rakan sepasukan sebelum ini apabila membuat keputusan bertukar kepada acara beregu wanita.

Bekas juara kebangsaan 2017 itu ketika ini diberikan tempoh percubaan selama sebulan oleh barisan kejurulatihan untuk dia bermain dalam acara beregu.

"Saya membuat keputusan bertukar acara sejak sebulan lalu. Saya berjumpa dengan jurulatih dan berbincang dengan mereka, akhirnya mereka benarkan untuk saya mengharungi tempoh percubaan selama sebulan.

"Ini adalah keputusan saya sendiri. Saya fikir agak sukar untuk saya terus kekal dalam acara perseorangan dan sebab itu saya mahu cuba acara baharu.

"Sudah pasti banyak yang saya perlu belajar memandangkan acara perseorangan dan beregu berbeza. Ia umpama saya perlu bermula daripada kosong tetapi saya mendapat sokongan daripada jurulatih, rakan sepasukan dan keluarga," katanya yang sudah mula menjalani latihan bersama skuad beregu wanita sejak minggu lalu.

Antara pemain perseorangan wanita pernah bertukar acara ialah bekas Olimpian, Tee Jing Yi yang sudah bersara dan Lim Chiew Sin yang kini bergandingan bersama Pearly Tan.

Thinaah, 21, bagaimanapun berjaya menjadi juara Siri Antarabangsa Malaysia 2018 dalam acara beregu wanita bersama Lim Pei Yee.

984 dibaca
Berita Harian X