Sabtu, 20 April 2019 | 6:48pm
BEKAS pakar beregu kebangsaan, Datuk Seri Jalani Sidek.

BAM perlu lahirkan 5 lagi Zii Jia

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu melahirkan sekurang-kurangnya empat hingga lima pemain seperti Lee Zii Jia bagi memastikan kesinambungan dalam acara badminton perseorangan lelaki dapat diteruskan.

Bekas pakar beregu kebangsaan, Datuk Seri Jalani Sidek, berkata bagi merealisasikan matlamat itu, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak mempunyai pilihan selain mengeluarkan pelaburan menghantar pemain muda beraksi dalam kejohanan di pentas antarabangsa.

"BAM perlu buat persiapan awal kerana kalau kita terlalu bergantung harap kepada Zii Jia, ini boleh beri kesan yang tidak baik. Andai kata Zii Jia berdepan sebarang isu sehingga prestasinya merosot, siapa yang kita boleh harapkan lagi?

"Sebab itu, perlu ada sekurang-kurangnya empat hingga lima pemain seperti Zii Jia. Saya faham BAM berdepan dengan kekangan kewangan tetapi mahu atau tidak mereka perlu membuat sesuatu.

"Pemain muda perlu banyak dihantar menyertai kejohanan. Kita tidak boleh simpan saja mereka dengan hanya menjalani latihan kerana untuk menilai kemampuan, mereka perlu dihantar beraksi dalam kejohanan.

"Pemain pula bila sudah dapat peluang menyertai kejohanan, kena buktikan kemampuan. Kalau masih gagal juga, mereka tidak boleh salahkan BAM jika badan induk itu mengambil tindakan," kata Jalani kepada BH Sukan.

Jalani yang juga pemenang pingat gangsa Olimpik Barcelona 1992, berkata BAM seharusnya tidak mengulangi kesilapan lama yang mana sebelum ini terlalu bergantung kepada bekas pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei.

"Kesannya kita sudah dapat lihat sekarang apabila selama ini kita hanya bergantung kepada Chong Wei.

"Saya sokong pendekatan BAM sekarang yang lebih mengutamakan pemain muda tetapi adakah ia dilaksanakan seperti mana yang dirancang dan membabitkan secara menyeluruh," katanya.

Dengan ketiadaan Chong Wei yang masih dalam proses pemulihan susulan kanser hidung yang dihidapinya, Zii Jia ketika ini memegang status sebagai pemain perseorangan nombor satu negara dengan menghuni ranking ke-22 dunia.

Bagaimanapun, pemain kebangsaan seangkatan dengannya masih jauh ketinggalan yang menyaksikan Soong Joo Ven di kedudukan ke-73 dunia, Cheam June Wei (82), Tan Jia Wei (136), Leong Jun Hao (228), Mohd Ziyah Tahad (339) dan Aidil Sholeh Ali Sadikin (769).

865 dibaca
Berita Harian X