Ahad, 21 April 2019 | 12:57am
Reaksi Fabio Fognini dari Itali sejurus tamat perlawanan menentang Rafael Nadal pada separuh akhir Monte Carlo Masters, hari ini. - Foto EPA

Terburuk dalam tempoh 14 tahun - Nadal

MONTE CARLO: Rafael Nadal disingkirkan Fabio Fognini di peringkat separuh akhir Monte Carlo Masters dan bintang tenis Sepanyol itu menyifatkan kekalahan 6-4, 6-2 itu sebagai ‘terburuk di gelanggang tanah liat dalam tempoh 14 tahun’.

Keputusan mengejutkan itu menyaksikan pilihan ke-13 kejohanan dari Itali, Fognini akan bertemu pemain Serbia, Dusan Lajovic di pentas final yang tidak dijangka.

“Saya mengharungi perlawanan terburuk saya di gelanggang tanah liat dalam tempoh 14 tahun,” kata Nadal. “Sukar untuk saya mencari sesuatu yang positif, saya memang layak kalah.”

Fognini yang menewaskan Nadal dua kali di gelanggang tanah liat pada 2015 dengan keputusan itu menamatkan deretan 25 set kemenangan buat pemain ranking nombor dua dunia itu.

“Visinya adalah jelas,” kata Nadal yang mengharungi kejohanan pertamanya dalam tempoh sebulan selepas mengalami kecederaan lututnya. “Saya mengharungi perlawanan yang buruk menentang pemain yang bagus. Dalam situasi itu, kamu perlu kalah.


Rafael Nadal dari Sepanyol membalas pukulan Fabio Fognini pada separuh akhir Monte Carlo Masters, hari ini. - Foto EPA

“Saya memperoleh perasaan yang buruk, ia adalah hari yang sukar. Saya datang selepas mengharungi beberapa siri kecederaan, dan daripada sudut mental tidak begitu mudah untuk menerima semua perkara yang berlaku sejak beberapa minggu lalu.

“Segala-galanya tidak betul. Saya sentiasa menjangkakan yang terbaik. Tetapi kamu perlu bersedia untuk menerima perkara yang negatif dan hari ini adalah negatif.” 

Bagi Fognini, 31, kemenangan keempatnya ke atas Nadal disifatkannya sebagai bagus.

“Saya mengharungi minggu yang bagus, melakukan beberapa perkara yang baik. Saya dilahirkan di sini, saya tahu bagaimana untuk bermain di tanah liat. 

“Ini adalah final di mana semua orang tidak jangkakan. Saya berharap untuk pulih dengan baik dan bersedia,” katanya. - AFP

826 dibaca
Berita Harian X