Selasa, 7 Mei 2019 | 6:03pm
PRESIDEN Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria. - Foto Owee Ah Chun.

Tiada 'pintu belakang' buat Chong Wei

 

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak akan menggunakan 'pintu belakang' bagi membolehkan jaguh perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei beraksi pada Kejohanan Dunia di Basel, Switzerland, Ogos depan.

Menerusi senarai fasa pertama pemain yang layak dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF), hanya dua wakil negara, Lee Zii Jia dan Liew Daren dalam acara perseorangan lelaki boleh beraksi di Basel.

Selaku badan induk badminton negara, BAM mempunyai kuasa untuk menyenaraikan Chong Wei tetapi perlu menggugurkan salah seorang sama ada Zii Jia atau Daren.

Bagaimanapun, Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, berkata badan induk itu mengambil pendirian untuk membenarkan pemain layak secara merit beraksi pada Kejohanan Dunia.

"Sudah pasti pemain yang layak dalam senarai fasa pertama ini akan dibenarkan beraksi. Saya serahkan kepada C&T (Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan) untuk membuat keputusan lanjut.

"Namun, saya fikir kita perlu menilainya berdasarkan merit," kata Norza ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara, hari ini.

Situasi itu sekali gus menyaksikan impian Chong Wei sekurang-kurangnya membuat penampilan terakhir dan memburu gelaran sulung Kejohanan Dunia boleh dianggap sudah 'berkubur'.

Sebagai rekod, Chong Wei, 37, tidak pernah meraih gelaran dunia dengan pencapaian terbaiknya adalah tiga kali muncul naib juara bermula 2011, 2013 dan 2015.

Pemenang pingat perak Olimpik tiga kali itu ketika ini masih dalam proses pemulihan selepas disahkan bebas daripada kanser hidung dihidapinya pada Julai tahun lalu.

Norza, berkata setakat ini nama Chong Wei tidak didaftarkan untuk menyertai sebarang kejohanan dengan badan induk itu akan mengadakan perbicangan bersama pemain berkenaan mengenai perancangan seterusnya.

"Saya ada bercakap dengan Chong Wei sebelum ini mengenai masa yang sesuai untuk dia kembali menyertai kejohanan. Namun, kami akan berbincang lagi dalam masa terdekat ini.

"Jika doktor memberi lampu hijau untuk dia bermain, dia akan bermain. Jika tidak, kita akan bincang perancangan seterusnya," katanya.

 

 

Berita Harian X