Isnin, 20 Mei 2019 | 10:15pm
Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik. - Arkib NSTP

Aaron-Wooi Yik buka mata juara dunia

KUALA LUMPUR: Juara dunia Li Junhui-Liu Yuchen percaya beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik bakal menjadi musuh baru yang perlu mereka beri perhatian.

Semalam, pasangan nombor satu China itu terpaksa bermandi peluh sebelum berjaya menewaskan Aaron-Wooi Yik 18-21, 21-14, 24-22 dalam perlawanan pertama saingan Piala Sudirman di Nanning.

"Ia nyata perlawanan yang sukar, sangat sukar. Kami bermain rali yang banyak dan kami gagal mengekalkan momentum di tahap terbaik,” kata Yuchen yang menjuarai Kejohanan Dunia 2018 bersama Junhui.

"Kami gagal bermain dengan baik pada set pertama dan awal set ketiga. Pasangan Malaysia bermain dengan sangat baik, ini menjadi pengajaran berguna buat kami dan kami akan gunakannya untuk menghadapi perlawanan seterusnya."

Dalam aksi sulung Kumpulan D itu, Malaysia terpaksa akur apabila tewas 5-0 di tangan China.

Sementara itu, Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann berkata Aaron-Wooi Yik yang juga naib juara Seluruh England 2019 seharusnya mampu mengutip mata pertama skuad negara dalam perlawanan itu.

"Mereka (Aaron-Wooi Yik) sangat hampir untuk melakukan kejutan dan saya boleh nampak Junhui-Yuchen sendiri agak terkejut dengan prestasi mereka. Mereka berjaya membuktikan yang mereka tidak gentar berdepan dengan pasangan utama dunia.

"Mungkin mereka masih kurang dari aspek mental terutama ketika berdepan situasi getir. Namun, ini pengalaman yang sangat berguna untuk mereka dan saya harap mereka belajar daripada pengalaman ini," kata Choong Hann.

3812 dibaca
Berita Harian X