Sabtu, 15 Jun 2019 | 8:42pm
MOHAMAD Norza Zakaria
MOHAMAD Norza Zakaria

Chong Wei mampu galas tugas CDM

 

KUALA LUMPUR: Biarpun tugas sebagai ketua kontinjen negara (CDM) pada Sukan Olimpik 2020 Tokyo adalah berat, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria yakin bekas jaguh badminton lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei mampu menggalas tugas diamanahkan.

Norza berkata, buat masa ini pihaknya masih belum mengetahui jumlah kontinjen sebenar melayakkan diri ke temasya itu dengan kini hanya tiga atlet yang sudah melakukannya.

"Pertama sekali secara peribadi saya rasa pelantikan ini adalah pendedahan baik buatnya (Chong Wei) kerana selama ini beliau adalah seorang atlet berjaya dan sudah menyertai semua temasya sukan besar.

"Jadi Olimpik bukanlah temasya asing baginya," katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) MOM dan juga Mesyuarat Majlis Eksekutif kali ke-189, di sini hari ini.

Mengenai kebimbangan terhadap kesihatan Chong Wei yang mungkin terjejas bagi menggalas tugas sebagai CDM, Norza menjelaskan MOM akan mempertimbangkan untuk melantik Penolong CDM bagi membantu tugas Chong Wei jika bilangan kontinjen negara ke Olimpik adalah besar.

"Dalam awal tahun depan kita akan ketahui sebesar mana kontinjen negara ke Olimpik. Sekiranya perlu, kami akan pertimbangkan melantik penolong bagi Chong Wei," katanya.

Norza berkata, ahli perwakilan dalam AGM hari ini menyaksikan sokongan sebulat suara oleh perwakilan terhadap pencalonan Chong Wei bagi memikul tanggungjawab ketua kontinjen negara di Tokyo.

"Menteri Belia dan Sukan (Syed Saddiq Syed Abdul Rahman) mencadangkan nama Chong Wei (Khamis lalu) dan kami terima sebulat suara," katanya.

Beliau juga berkata, MOM akan menganjurkan satu seminar bagi Sukan Olimpik 2020 Tokyo pada Ogos ini dan Chong Wei juga akan dijemput bagi memberinya pendedahan terhadap tugas bakal dipikulnya nanti.

Setakat ini, dua pelayar negara - Khairulnizam Mohd Afendy Abdullah dan Nur Shazrin Mohd Latif yang masing-masing bertanding dalam acara laser standard dan laser radial sudah mendapatkan tiket awal ke Olimpik 2020 sementara pemanah, Khairul Anuar Mohamad melayakkan diri ke Olimpik dalam acara recurve.

Berita Harian X