Selasa, 18 Jun 2019 | 10:08am
RASHID Sidek

Tiada Chong Wei lagi bagus

 

KUALA LUMPUR: Tidak dinafikan persaraan Datuk Lee Chong Wei memberi kesan yang cukup besar buat kem badminton kebangsaan.

Bagaimanapun, bekas jurulatih perseorangan lelaki negara, Rashid Sidek berpendapat, ada perkara positif di sebalik persaraan itu dalam usaha mengembalikan semula kegemilangan sukan badminton tanah air.

Katanya, ketiadaan Chong Wei membolehkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kini memberi layanan yang adil kepada semua pemain selepas fokus lebih diberikan kepada bekas pemain nombor satu dunia berkenaan.

"Apabila Chong Wei sudah tiada, situasi kini berubah yang mana pemain muda pastinya akan diberi lebih keutamaan.

"Dulu, semuanya adalah mengenai Chong Wei memandangkan dia seorang saja yang mampu menjanjikan kejayaan buat skuad badminton.

"Jadi, saya harap pemain muda yang ada sekarang ambil peluang dengan ketiadaan Chong Wei ini. Buktikanlah kemampuan sebenar mereka," kata Rashid kepada BH Sukan.

Ketiadaan Chong Wei menyaksikan status sebagai pemain nombor satu negara ketika ini disandang Lee Zii Jia yang menghuni ranking ke-20 dunia.

Rashid yang juga pemenang pingat gangsa Olimpik Atlanta 1996, mencabar Zii Jia untuk meraih gelaran juara dalam kejohanan lebih besar bagi mengukuhkan reputasinya itu.

"Dia sudah menang Terbuka Taiwan tahun lalu, bagi membuktikan kemenangannya itu bukan sekadar nasib, dia perlulah cuba memenangi satu lagi gelaran lebih besar.

"Ini penting untuk dia juga bagi membuktikan dirinya layak untuk memegang status itu. Dia sendiri perlu tunjuk azam dan kemahuan yang tinggi," katanya.

6534 dibaca
Berita Harian X