Selasa, 18 Jun 2019 | 10:30pm
PEMAIN perseorangan lelaki negara, Soong Joo Ven. - Foto Muhaizan Yahya

Joo Ven elak tekanan ganti Chong Wei

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara, Soong Joo Ven enggan memikirkan mengenai potensi dirinya bagi menjadi pemain seperti Datuk Lee Chong Wei.

Sebaliknya, pemain berusia 24 tahun itu menegaskan dia mahu menjadi diri sendiri dan menunjukkan peningkatan prestasi dengan cara yang tersendiri.

"Saya fikir, lebih baik saya menjadi diri sendiri daripada saya bandingkan diri saya dengan Chong Wei. Chong Wei seorang pemain yang luar biasa," kata Joo Ven.

"Saya harap saya boleh beraksi pada  tahap prestasi saya sendiri dan berharap semua perancangan berjalan dengan lancar.”

Joo Ven antara salah seorang pemain selain Lee Zii Jia dan Cheam June Wei yang dilihat mempunyai potensi untuk menyerlah di bawah bimbingan ketua jurulatih perseorangan lelaki, Datuk Misbun Sidek.

Terdahulu, naib juara Terbuka Scotland 2016 itu menepati statusnya sebagai pilihan pertama apabila mara ke pusingan kedua Siri Antarabangsa Malaysia di Ipoh, hari ini.

Joo Ven tidak berdepan masalah untuk menewaskan pemain Singapura, Chao Huang 21-17, 21-18 dalam aksi pusingan pertama.

"Saya agak gementar sedikit kerana ini adalah perlawanan pertama tetapi saya gembira berjaya mengatasinya. Saya harap boleh tingkatkan lagi prestasi untuk perlawanan seterusnya," katanya yang akan bertemu pemain Indonesia, Henrikho Kho Wibowo pada aksi pusingan kedua, esok.

Berita Harian X