Selasa, 18 Jun 2019 | 10:39pm
Lee Zii Jia. - Foto Zulfadhli Zulkifli

Zii Jia perlu lebih masa

KUALA LUMPUR: Malaysia tidak boleh menunggu lebih lama dalam melahirkan pemain perseorangan lelaki yang sekurang-kurangnya mampu mencabar kelompok pemain utama dunia.

Justeru, Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann berjanji, dia dan barisan kejurulatihan akan bekerja keras bagi merealisasikan hasrat itu dalam tempoh dua atau tiga tahun akan datang.

Katanya, berdasarkan perkembangan semasa, Lee Zii Jia paling menonjol dan percaya pemain berusia 21 tahun itu mampu menyerlah dalam tempoh berkenaan.

"Jika dilihat Datuk Lee Chong Wei mula menonjol ketika usianya 23 tahun, sebelum itu memang kita sudah nampak potensi yang dimilikinya," kata Choong Hann.

"Namun, kita berada di zaman yang berbeza yang mana pengetahuan mengenai badminton itu lebih padat dan banyak. Jadi, kami perlu beri bantuan yang betul kepada pemain.

"Kami akan sedaya upaya untuk mempercepatkan proses ini (melahirkan pemain bertaraf dunia). Saya mengharapkan kita boleh melihatnya dalam tempoh dua atau tiga tahun akan datang." 

Susulan persaraan Chong Wei, minggu lalu, ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek menjangkakan tempoh 10 hingga 15 tahun bagi melahirkan pengganti kepada pemenang pingat perak Olimpik tiga kali itu.

Bagaimanapun, Presiden BAM Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata tempoh berkenaan adalah terlalu lama dan menggesa proses itu dipercepatkan kepada lima tahun.

Choong Hann yang juga bekas pemain perseorangan lelaki nombor satu negara bagaimanapun tidak berani memberi jaminan Zii Jia mampu menjadi pemain sehebat Chong Wei yang disifatkan luar biasa.

"Zii Jia menunjukkan peningkatan yang cukup positif dalam tempoh setahun ini dan saya percaya kita akan lihat kematangannya dalam tempoh beberapa tahun lagi untuk dia bersaing dengan dengan kelompok pemain terbaik dunia.

"Namun, sama ada dia boleh mencapai pencapaian setaraf Chong Wei, itu belum tentu lagi. Ini kerana pencapaian yang diraih Chong Wei adalah luar biasa," katanya.

726 dibaca
Berita Harian X