Rabu, 19 Jun 2019 | 8:20am
ROGER Federer.

Federer buka kempen langkah kanan

HALLE WESTFALEN, Jerman: Roger Federer memulakan persiapan menjelang Wimbledon dengan langkah kanan selepas menundukkan pemain Australia, John Millman untuk mara ke pusingan kedua ATP Terbuka Halle, semalam.

Legenda tenis Switzerland itu memenangi perlawanan pertama di gelanggang rumput  musim ini dengan keputusan 7-6 (7/1), 6-3 pada petang yang panas di Halle untuk menempah aksi dengan pemain Perancis, Jo-Wilfried Tsonga di pusingan kedua.

“Sentiasa penting untuk memenangi perlawanan pertama kamu di gelanggang rumput, kerana jika tidak musim kamu di gelanggang ini boleh menjadi amat singkat,” kata Federer.

Tsonga, 34, berkata ia akan menjadi ‘sesuatu yang istimewa’ untuk berdepan Federer selepas dia menewaskan rakan senegaranya Benoit Paire 6-4, 7-5 di pusingan pembukaan.

“Saya gembira dapat menang kerana Benoit pemain yang amat berbahaya. Sentiasa sukar untuk mendominasi ketika melawannya, kamu sentiasa berasa yang perlawanan boleh berubah pada bila-bila masa,” kata Tsonga yang hanya pernah menang sekali menentang Federer di gelanggang rumput sebelum ini.

Penyandang juara, Borna Coric meraih kemenangan 7-6 (7/2), 6-3 terhadap pemain Sepanyol, Jaume Munar pada pusingan pertama manakala pilihan tuan rumah, Jan-Lennard Struff menewaskan pemain Serbia, Laslo Djere 6-4, 6-4  untuk merakam kemenangan pertamanya di Halle.

“Saya tinggal berdekatan sini. Saya akan datang ke sini setiap tahun dan tewas, jadi hebat apabila akhirnya saya menang,” kata Struff. - AFP

Berita Harian X