Jumaat, 28 Jun 2019 | 7:14pm
Pemain perseorangan lelaki kebangsaan Lim Chong King ketika sesi latihan skuad badminton di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara. - NSTP/Aswadi Alias

2 tahun asuh Chong King jadi 30 terbaik dunia

 

KUALA LUMPUR: Pemain yang disebut bintang masa depan negara, Lim Chong King perlu mencapai kelompok 30 terbaik dunia dalam tempoh dua tahun andai mahu mengejar impiannya menjadi seperti Datuk Lee Chong Wei.

Menurut Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann, perkara itu perlu bagi memastikan pemain berusia 19 tahun itu berada di landasan tepat bergelar pemain utama dunia.

Sekiranya gagal mencapai sasaran, katanya ia mungkin berpunca daripada masalah aspek prestasi pemain itu sendiri ataupun pendekatan jurulatih yang tidak menjadi.

"Dalam dua tahun lagi seharusnya mereka mencapai platform untuk berada dalam kelompok 30 terbaik dunia, lagipun sekarang mereka semua baru berusia 19 tahun.

"Kalau tak capai, sama ada mereka sendiri tidak bagus atau barisan jurulatih gagal dalam membimbing mereka dan kita pastinya akan menilai daripada pelbagai aspek," kata Choong Hann ketika ditemui pada Majlis Sambutan Aidilfitri Persatuan Badminton Malaysia (BAM), sebentar tadi.

Beliau mengulas berhubung perkembangan empat pemain muda yang diserap ke dalam kem pelapis kebangsaan.

Empat pemain berkenaan diketuai Chong King, Aidil Sholeh Ali Sadikin dan Tze Yong Ng semuanya 19 tahun serta Muhammad Ziyad Md Tah (24 tahun).

Katanya, penting untuk pemain-pemain muda ini menetapkan sasaran tinggi supaya mereka terus mempunyai motivasi untuk menjalani latihan intensif.

"Kalau ikut perkembangan semasa, kebanyakan pemain muda akan menonjol pada awal 20-an di pentas antarabangsa, jadi ia penting untuk meletakkan misi untuk dicapai oleh pemain muda," tambah Choong Hann.

Nama Chong King kini mula meniti di bibir peminat tempatan apabila mara ke pentas separuh akhir Kejuaraan Siri Antarabangsa Malaysia di Ipoh, baru-baru ini sekali gus menyebabkan ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek turut terpikat dengannya.

Meskipun pemain berusia 19 tahun itu gagal mara ke pentas final, namun pencapaian sehingga ke separuh akhir membuka mata Misbun yang melabelkannya mempunyai karakter seperti jaguh badminton negara, Chong Wei.

Berita Harian X