Isnin, 1 Julai 2019 | 8:44pm
Pemain badminton negara, Lee Zii Jia ketika sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara. - NSTP/Zulfadhli Zulkifli

Misbun mula persiap Zii Jia hadapi Terbuka Indonesia

 

KUALA LUMPUR: Saingan Terbuka Indonesia bermula 16 hingga 21 Julai ini akan menjadi penampilan pertama Lee Zii Jia sebagai pemain perseorangan lelaki nombor satu negara tanpa dibayangi Datuk Lee Chong Wei yang bersara, bulan lalu.

Ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek memberitahu, beliau ketika ini sedang mempersiapkan pemain berusia 21 tahun itu bagi menghadapi kejohanan Jelajah Dunia BWF Super 1000 itu.

"Saya sedang giat mempersiapkan Zii Jia untuk Terbuka Indonesia. Ia tugasan yang perlu dipandang serius kerana nama dia kini sudah mula besar selepas ketiadaan Chong Wei.

"Saya perlu memahami perasaan dia, mengenal pasti momentum permainan dia, arah tuju dan sasaran dia. Ini bagi membolehkan saya mengetahui apa lagi ramuan diperlukan untuk meningkatkan prestasinya.

"Kalau dia boleh memahami setiap modul latihan diberikan dengan baik, saya percaya dia boleh belajar banyak perkara dengan lebih cepat," kata Misbun.

Sepanjang 10 bulan ketiadaan Chong Wei di pentas antarabangsa susulan pemulihan kanser hidung dihidapinya, Zii Jia mengambil alih status sebagai jaguh nombor satu negara berdasarkan kedudukan ranking dunianya.

Bagaimanapun, status berkenaan masih dibayangi kelibat Chong Wei yang ranking dunianya jatuh susulan tidak menyertai sebarang kejohanan sepanjang tempoh pemulihan.

Berdasarkan undian, Zii Jia yang menghuni ranking ke-18 dunia itu berdepan laluan mencabar di Jakarta dengan dia akan membuka tirai kempen menentang pemain Thailand, Khosit Phetpradab di pusingan pertama.

Jika menang, dia kemungkinan besar bertemu pemenang pingat emas Olimpik Rio 2016, Chen Long dari China di pusingan kedua dengan seorang lagi bintang China, Shi Yuqi dijangka menantinya di suku akhir.

1433 dibaca
Berita Harian X