Sabtu, 6 Julai 2019 | 4:41pm
Hendrawan

BAM terus kekal khidmat Hendrawan

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengumumkan Hendrawan akan meneruskan khidmatnya sebagai jurulatih perseorangan lelaki negara.

Perkara itu disahkan oleh Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria dengan jurulatih dari Indonesia itu akan menabur bakti sehingga kontraknya tamat pada Jun tahun depan.

Katanya, misi Hendrawan tetap sama iaitu mempersiapkan barisan pemain untuk menghadapi Sukan Olimpik Tokyo 2020, serupa seperti ketika dia melatih Datuk Lee Chong Wei.

"Menerusi keputusan mesyuarat jawatankusa BAM hari ini, kami sebulat suara mencapai persetujuan untuk mengekalkan Hendrawan.

"Pemain yang bakal berada di bawah pemantauannya ialah Lee Zii Jia, Soong Joo Ven, Lim Chong King dan Cheam June Wei," katanya dalam sidang media di Bukit Kiara, di sini, sebentar tadi.

Norza berkata Datuk Misbun Sidek pula akan dipertanggungjawab untuk mengasah bakat muda seperti Leong Jun Hao, Aidil Sholeh Ali Sadikin, Tan Jia Wei dan Ng Tze Yong sambil dibantu oleh Indra Wijaya.

Katanya, bekas pengurus besar BAM, Kenny Goh kembali semula ke pangkuan badan induk itu untuk memangku jawatan Setiausaha Agung.

“Selain itu, beliau juga akan menjawat jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T),” katanya.

579 dibaca
Berita Harian X