Isnin, 8 Julai 2019 | 12:50pm
GAMBAR fail, bekas pemain beregu negara, Datuk Seri Jalani Sidek. - Foto Hasriyasyah Sabudin

Hormat sikit kerja Misbun - Jalani

KUALA LUMPUR: Legenda badminton negara, Datuk Seri Jalani Sidek menyelar tindakan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) ‘merampas’ anak didik Datuk Misbun Sidek dengan menyerahkannya kepada Hendrawan untuk dilatih.

Beliau yang kecewa dengan keputusan itu berkata, sepatutnya pemain utama seperti Lee Zii Jia dikekalkan di bawah kendalian Misbun, apatah lagi mereka menunjukkan peningkatan ketara sepanjang dua tahun terakhir diasuh ketua jurulatih perseorangan lelaki negara itu.

“Semua orang tahu kerja keras Misbun selama dua tahun mula menampakkan hasil apabila pemain muda yang sebelum ini tidak pernah menonjol kian menunjukkan peningkatan ketara.

“Bagi saya, sayanglah... kerana pada asalnya Misbun masuk pun untuk mempersiapkan pemain bagi Sukan Olimpik 2020 dan beberapa pemain bimbingannya sudah bersedia menghadapi temasya itu.

“Saya juga tak setuju dengan kenyataan BAM yang mengatakan Misbun lebih baik untuk program pembangunan tetapi mereka lupa bahawa dia pernah melahirkan tiga pemain nombor satu dunia iaitu Rashid Sidek, Roslin Hashim dan (Datuk Lee) Chong Wei,” katanya.

BH Sukan kelmarin melaporkan, BAM mengumumkan Hendrawan yang sebelum ini bertindak sebagai pembantu Misbun diberi tugas membimbing perseorangan utama negara Zii Jia selain Soong Joo Ven, Cheam June Wei dan Lim Chong King.

Ia berbeza berbanding Misbun yang ‚diturunkan pangkat‘ melatih pemain pelapis seperti Leong Jun Hao, Aidil Sholeh Ali Sadikin,Tan JiaWei, NgTze Yong dan beberapa lagi pemain berpotensi.

Sebelum ini, status Hendrawan yang mempunyai kontrak sehingga Sukan Olimpik Tokyo 2020 menjadi persoalan selepas Chong Wei mengumumkan persaraan bulan lalu.

Jelas Jalani lagi, keputusan itu secara tak langsung memberi isyarat betapa Misbun bukan lagi ketua jurulatih.

“Misbun perlu akur kerana itu adalah kehendak BAM, tetapi pada masa sama tanggungjawab berat kini dipikul Hendrawan.

“Bagi saya kalau Misbun tidak setuju, dia kena berhenti. Jika setuju, dia kena terima. Tetapi dalam hal ini dia sudah bersetuju,” katanya

2884 dibaca
Berita Harian X