Selasa, 9 Julai 2019 | 10:44am
AKSI Roger Federer ketika menentang Matteo Berrettini dari Itali pada Kejohanan Wimbledon di London. - Foto AFP

Federer, Djokovic, Nadal terus kemaraan

LONDON: Roger Federer, Novak Djokovic dan Rafael Nadal melangkah ke suku akhir Wimbledon selepas ketiga-tiga ‘gergasi’ Grand Slam itu tidak berdepan kesukaran menyingkirkan lawan masing-masing, semalam.

Bintang Switzerland, Federer muncul pemain tertua mara ke suku akhir Grand Slam dalam tempoh 28 tahun apabila melengkapkan kemaraannya ke peringkat lapan terbaik Wimbledon buat kali ke-17.

Juara lapan kali itu menyingkirkan pemain Itali, Matteo Berrettini 6-1, 6-2, 6-2 dalam tempoh 74 minit bagi melengkapkan penampilan ke-55 di suku akhir Grand Slam.

Di usia 37 tahun, Federer menjadi pemain tertua mara ke peringkat lapan terbaik Grand Slam sejak 1991 yang kali terakhir dilakukan Jimmy Connors di Terbuka Amerika Syarikat.

Juara bertahan dan pemain nombor satu dunia, Djokovic mara ke suku akhir ke-11 di Wimbledon selepas menewaskan pemain Perancis, Ugo Humbert 6-3, 6-2, 6-3.

Nadal yang juga pilihan ketiga dan pemenang edisi 2008 dan 2010 menang 6-2, 6-2, 6-2 ke atas pemain Portugal, Joao Sousa.

“Perjalanan saya benar-benar baik ketika ini. Saya berupaya untuk membaca servisnya, melakukan pukulan balas yang baik dan memukul dengan baik di garisan akhir,” kata Federer yang berpeluang bertemu Nadal di separuh akhir.

Lawan Federer berikutnya ialah bintang Jepun, Kei Nishikori.

Sementara itu, juara empat kali dan pilihan utama, Djokovic, 32, akan bertemu pemain Belgium, David Goffin bagi perebutan ke peringkat empat terbaik.

“Rancangan saya adalah sentiasa mara ke final Grand Slam,” kata Djokovic. “Wimbledon sentiasa kejohanan yang istimewa dan sentiasa memberikan saya motivasi.”

Nadal, 33, yang dijadual bertemu Sam Querrey di peringkat lapan terbaik memburu gelaran ke-19 Grand Slam.

“Banyak perkara yang positif di sini. Untuk berada di suku akhir adalah berita yang hebat bagi saya,” kata Nadal. - AFP

Berita Harian X