Selasa, 9 Julai 2019 | 11:38am
Misbun terpaksa berfikir dua kali sebelum bersetuju dengan tawaran baru. - NSTP/Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Bukan keputusan mudah - Misbun

KUALA LUMPUR: Walaupun tidak menyatakan secara terbuka, Datuk Misbun Sidek mengakui dia terpaksa berfikir dua kali sebelum bersetuju dengan tawaran baru Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Kelmarin, badan induk itu mengesahkan kontrak ketua jurulatih perseorangan negara itu disambung bagi tempoh setahun lagi.

Bagaimanapun, ia mengundang persepsi negatif selepas Misbun sekadar diberikan peranan untuk membangunkan pemain pelapis.

"Ia sebenarnya bukan keputusan mudah. Sebenarnya saya berfikir juga sama ada hendak teruskan atau tidak," kata Misbun.

"Tetapi bila saya fikirkan semula, pemain masih perlukan khidmat saya dan kebanyakan pemain ini masih muda.

"Sudah dua tahun saya melatih mereka dan saya berjaya membina mereka dari aspek teknikal dan disiplin sehingga menunjukkan peningkatan ranking, maka sebab itu saya terima balik."

Sebaliknya, Hendrawan yang mana masa depannya mencetuskan tanda-tanya sebelum ini pula diberi tugas membimbing sandaran utama negara, Lee Zii Jia selain Soong Joo Ven, Cheam June Wei dan Lim Chong King.

Antara individu yang menyelar keputusan terbaru BAM itu adalah Datuk Seri Jalani Sidek yang menyifatkan badan induk berkenaan 'merampas' anak didik Misbun dengan menyerahkannya kepada Hendrawan untuk dilatih.

Tiga daripada pemain itu kecuali Chong King pada asalnya dibentuk Misbun sejak dua tahun lalu dengan misinya adalah untuk mempersiapkan mereka untuk mengisi kekosongan ditinggalkan Datuk Lee Chong Wei.

"Saya hanya diberitahu perancangan diajukan (oleh BAM). Saya tidak berdepan masalah walau sesiapapun saya perlu menjaga. Malah saya menerima dengan terbuka keputusan untuk meletakkan empat pemain berkenaan di bawah Hendrawan," katanya.

1164 dibaca
Berita Harian X