Selasa, 9 Julai 2019 | 6:43pm
PEMAIN badminton negara, Lee Zii Jia ketika latihan di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara. NSTP/Owee Ah Chun.

Zii Jia masih harapkan bantuan Misbun

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia masih mengharapkan bantuan Datuk Misbun Sidek untuk meningkatkan prestasinya biarpun kini diletakkan di bawah kendalian Hendrawan.

 Zii Jia, berkata perubahan struktur kejurulatihan yang berlaku hanyalah atas kertas tetapi apa yang lebih penting semua jurulatih dan pemain perseorangan lelaki bekerja sebagai satu pasukan.

 "Bagi saya sebagai pemain, tiada masalah. Misbun masih ketua jurulatih dan kami masih dalam satu pasukan.

 "Sebelum ini ketika saya di bawah bimbingan Misbun pun, Hendrawan dan Indra Wijaya turut membantu. Jadi, tidak banyak perubahan pun sekarang.

 "Saya sudah bincang dengan Misbun dan Indra yang mana saya masih perlukan bantuan mereka selain Hendrawan. Mereka bersetuju untuk membantu saya," kata Zii Jia ketika ditemui pemberita selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara, hari ini.

 Menerusi struktur kejurulatihan baharu diumumkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) baru-baru ini, Hendrawan diberi tanggungjawab untuk membimbing tiga pemain perseorangan lelaki utama negara iaitu Zii Jia, Cheam June Wei, Soong Joo Ven selain bintang muda, Lim Chong King.

 Misbun pula diberi peranan melatih pemain muda iaitu bekas juara remaja Asia, Leong Jun Hao, Aidil Sholeh Ali Sadikin, Tan Jia Wei dan Ng Tze Yong.

 Zii Jia yang berjaya meraih gelaran juara Terbuka Taiwan 2018 ketika 'berguru' dengan Misbun, berharap dapat meraih ilmu baharu di bawah bimbingan Hendrawan.

 "Hendrawan pernah memenangi gelaran juara dunia (2001), jadi saya harap boleh belajar banyak perkara daripada dia. Kelebihan dia adalah daripada aspek permainan rali yang mana ia adalah kelemahan saya.

 "Jadi, saya harap Hendrawan boleh bantu saya untuk mengatasi kelemahan saya itu," katanya.

1065 dibaca
Berita Harian X