Rabu, 10 Julai 2019 | 11:50pm
Ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek. - NSTP/Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Misbun kekal temani Zii Jia

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek masih akan menemani Lee Zii Jia bagi membantu pemain itu menghadapi tiga kejohanan besar bermula, Selasa ini.

Walaupun Zii Jia kini di bawah bimbingan Hendrawan menerusi struktur kejurulatihan baharu diumumkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Sabtu lalu namun perancangan awal sudah pun dilakukan dan perkara itu tidak akan berubah.

Perkara berkenaan disahkan Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann yang menjelaskan Hendrawan akan mula menemani Zii Jia pada tugasan seterusnya.

"Kita sudah melakukan perancangan awal mengenai perkara ini. Jadi, Misbun akan kekal bersama Zii Jia bagi membantu pemain itu menghadapi tiga kejohanan berturut-turut," kata Choong Hann.

"Saya fikir tidak ada sebarang masalah kerana sebelum ini mereka bekerja sebagai satu pasukan. Hendrawan akan mula menemani Zii Jia dalam tugasan seterusnya.”

Zii Jia yang kini menghuni ranking ke-17 dunia menjadi wakil tunggal daripada skuad kebangsaan yang akan beraksi pada Terbuka Indonesia di Jakarta bermula Selasa ini selain Terbuka Jepun (23 hingga 28 Julai).

Dia bagaimanapun akan disertai dua lagi rakan sepasukan, Cheam June Wei dan Soong Joo Ven bagi beraksi pada Terbuka Thailand di Bangkok pada 30 Julai hingga 4 Ogos.

963 dibaca
Berita Harian X