Ahad, 14 Julai 2019 | 10:52pm
GAMBAR fail, aksi Liew Daren ketika Kejohanan Perodua Malaysia Masters 2019 di Axiata Arena Bukit Jalil, Januari lalu. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
GAMBAR fail, aksi Liew Daren ketika Kejohanan Perodua Malaysia Masters 2019 di Axiata Arena Bukit Jalil, Januari lalu. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Daren jadi ancaman Zii Jia

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Liew Daren mampu menjadi ancaman besar buat Lee Zii Jia dalam perebutan slot layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Ketua jurulatih Akademi Badminton Sports Affairs, Rashid Sidek yang kini melatih Daren, berkata peluang buat pemain bimbingannya itu untuk layak ke Tokyo tetap ada biarpun tumpuan lebih terarah kepada Zii Jia.

“Kalau lihat kepada ranking dunia sekarang, kedua-dua pemain itu tidak dibezakan terlalu jauh. Jadi, kita tidak boleh memandang rendah kemampuan Daren kerana dia sudah buktikan sebelum ini.

“Dalam tempoh setahun kelayakan Olimpik ini, macam-macam boleh berlaku. Fokus utama Daren sekarang memang untuk layak ke Olimpik.

“Berdasarkan tekanan, Zii Jia pastinya lebih tertekan kerana dia adalah pemain perseorangan lelaki nombor satu dan bernaung di bawah BAM (Persatuan Badminton Malaysia).

“Namun, kalau boleh kita mahu lihat Malaysia ada dua wakil yang layak ke Olimpik untuk acara perseorangan lelaki. Ia bukan sesuatu yang mustahil jika kedua-dua menunjukkan komitmen yang tinggi,” kata Rashid kepada BH Sukan.

Ketika ini Zii Jia berada di kedudukan ke-17 dunia manakala Daren ke-22. 

Setiap negara dibenarkan mempunyai dua wakil untuk beraksi di Tokyo dalam acara perseorangan lelaki sekiranya kedua-duanya berada dalam kelompok 16 terbaik selepas tamat pusingan kelayakan pada April tahun depan.

Daren yang baru pulih daripada masalah kecederaan sebelum ini berjaya mencipta kejutan apabila meraih pingat gangsa Kejohanan Dunia 2018 ketika dia tidak diletakkan sebarang harapan untuk melakar pencapaian itu.

Kedua-dua pemain negara itu akan meneruskan usaha mengutip mata ke Tokyo apabila beraksi pada saingan Terbuka Indonesia yang bermula Selasa ini.

Daren bagaimanapun berdepan laluan sukar apabila membuka kempen menentang pemain nombor satu dunia dari Jepun, Kento Momota manakala Zii Jia menentang pemain Thailand, Khosit Phetpradab.

 

 

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X