Khamis, 18 Julai 2019 | 6:13pm
BEREGU campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing. - Foto Aswadi Alias

3 beregu campuran negara mara suku akhir Terbuka Indonesia

KUALA LUMPUR: Persaingan memburu tiket ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 membabitkan tiga beregu campuran negara kini semakin sengit.

Ini selepas mereka masing-masing berjaya mempamerkan prestasi cemerlang pada saingan Terbuka Indonesia di Jakarta hari ini, dengan mengesahkan tempat ke suku akhir.

Gandingan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing melunaskan dendam ke atas Tang Chun Man-Tse Ying Suet dari Hong Kong apabila menang 21-15, 21-15 dalam aksi pusingan kedua, sebentar tadi.

Sebelum ini, Kian Meng-Pei Jing tewas di tangan lawan yang sama ketika pusingan kedua Terbuka Australia, bulan lalu.

"Kemenangan hari ini boleh dianggap sebagai balas dendam. Kami lebih fokus dengan strategi permainan dan untuk aksi suku akhir kami akan melakukan analisis terhadap lawan kami nanti," kata Kian Meng kepada BH Sukan.

Kian Meng-Pei Jing bagaimanapun dijangka berdepan cabaran sukar apabila bertemu gandingan England yang juga pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2018, Chris Adcok-Gabrielle Adcok bagi perebutan tempat ke separuh akhir, esok.

Sementara itu, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie turut cemerlang apabila mara ke suku akhir selepas melakar kejutan ke atas pilihan keenam dari Indonesia, Hafiz Faizal-Gloria Emanuelle Widjaja 21-15, 21-18.

Mereka akan bertemu pilihan kedua dari China, Wang Yilyu-Huang Dong Ping, esok.

Beregu campuran profesional negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying turut tidak ketinggalan melangkah ke kelompok lapan terbaik selepas menewaskan pasangan Korea Selatan, Seo Seung Jae-Chae Yujung 21-19, 21-15.

Pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016 itu akan bertemu gandingan Indonesia, Tontowi Ahmad-Winny Oktavina Kandov pada aksi suku akhir, esok.

726 dibaca
Berita Harian X