Jumaat, 19 Julai 2019 | 5:43pm
Beregu campuran profesional negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying. - Arkib NSTP
Beregu campuran profesional negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying. - Arkib NSTP

Peng Soon-Liu Ying mara separuh akhir Terbuka Indonesia

KUALA LUMPUR: Beregu campuran profesional negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying berjaya mendiamkan penyokong tuan rumah di Stadium Istora Gelora Bung Karno, Jakarta apabila menewaskan gandingan Tontowi Ahmad-Winny Oktavina Kandow dalam aksi suku akhir Terbuka Indonesia di Jakarta, hari ini.

Walaupun lawan dari Indonesia itu mendapat sokongan padu peminat tempatan tetapi pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016 berkenaan memastikan tiket ke separuh akhir menjadi milik mereka selepas melakar kemenangan 21-11, 14-21 21-14 dalam tempoh 60 minit.

Kemenangan itu juga menyaksikan Peng Soon-Liu Ying yang juga beregu campuran nombor satu negara melunaskan dendam ke atas Tontowi-Winny selepas mereka tewas di pusingan kedua Seluruh England, Mac lalu.

Esok, Peng Soon-Liu Ying akan berdepan pilihan kedua kejohanan, Wang Yi Lyu-Huang Dongping bagi perebutan tempat ke pentas final.

Terdahulu, Yi Lyu-Dongping menepati ramalan apabila mara ke separuh akhir hasil kemenangan ke atas satu lagi beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie 21-4, 21-15.

Berita Harian X