Khamis, 1 Ogos 2019 | 9:32pm
Pemain perseorangan wanita negara, Soniia Cheah terus kemaraan. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin

Soniia terus kemaraan

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan wanita negara, Soniia Cheah melakar kejutan apabila menundukkan pemain ranking enam dunia, He Bing Jiao dari China, 21-15, 21-12 di pusingan kedua badminton Terbuka Thailand, hari ini.

Soniia yang menghuni ranking ke-32 dunia jelas menguasai permainan apabila hanya memerlukan 32 minit untuk menang pada aksi di Stadium Tertutup Huamark, Bangkok itu.

Menantinya di pusingan suku akhir adalah pilihan utama kejohanan, Chen Yu Wei dari China yang menewaskan Kim Ga Eun dari Korea Selatan 23-21, 21-13.

“Sudah tentu saya gembira kerana memenangi perlawanan pada hari ini. Mujurlah corak permainan saya berjalan seperti dibincangkan bersama jurulatih.

“Saya dapat jangkakan perlawanan esok akan menjadi lebih sukar. Apa yang saya dapat buat adalah berjuang hingga akhir perlawanan,” kata pemain berusia 26 tahun itu.

Sementara itu, dalam aksi beregu lelaki, gandingan Goh V Shem/Tan Wee Kiong dipaksa bekerja keras dan memerlukan 55 minit sebelum berjaya mengecewakan pasangan China, Han Cheng Kai / Zhou Hao Dong, 19-21, 21-16, 21-18.

V Shem/Wee Kiong akan bertemu pasangan China, Li Jun Hui / Liu Yu Chen di pusingan suku akhir.  

Begitupun, nasib berbeza dialami pasangan beregu lelaki negara, Aaron Chia/Soh Wooi Yik apabila tewas di tangan pasangan China, Huang Kai Xiang/Liu Cheng 22-20, 21-17 dalam tempoh 37 minit.

Berita Harian X