Sabtu, 3 Ogos 2019 | 9:00pm
PEMAIN perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia. - Foto AFP

Zii Jia tewas di separuh akhir Terbuka Thailand

 

KUALA LUMPUR: Impian pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia untuk mara ke pentas final sulungnya tahun ini musnah apabila tumbang kepada pemain Taiwan, Chou Tien Chen di separuh akhir Terbuka Thailand, sebentar tadi.

Bintang muda Malaysia berusia 21 tahun itu tewas 21-14, 22-20 di tangan Tien Chen yang juga jaguh nombor tiga dunia dalam tempoh 46 minit di Stadium Tertutup Huamark, Bangkok.

Bagaimanapun, Zii Jia setidak-tidaknya boleh berbangga dengan kejayaan ke separuh akhir kali ini selepas mengubati penyakit tewas di suku akhir dalam enam kejohanan utama tahun ini.

Sebelum ini, pemain muda kelahiran Kedah itu kecundang seawal pusingan pertama di Terbuka Jepun selepas ditunjukkan jalan keluar oleh pemain Hong Kong, Lee Cheuk Yiu, bulan lalu.

Kekalahan itu juga menyebabkan rekod pertemuan Zii Jia dengan Tien Chen lebih memihak kepada pemain Taiwan itu yang menang tiga daripada lima perlawanan terakhir mereka.

Selepas ini, pemain ranking ke-17 dunia itu akan berlepas ke Basel, Switzerland bagi menghadapi Kejohanan Dunia 2019 yang bermula 19 Ogos ini.

Berita Harian X