Ahad, 4 Ogos 2019 | 12:18pm
Aksi pemain Australia, Nick Kyrgios ketika membalas pukulan pemain Greece, Stefanos Tsitsipas.

Kyrgios kejutkan Tsitsipas

WASHINGTON: Pemain Australia, Nick Kyrgios mengejutkan pilihan pertama, Stefanos Tsitsipas dari Greece untuk mara ke pentas final ATP Terbuka Washington, awal pagi tadi.

Pemain ranking ke-52 dunia itu mempamerkan prestasi konsisten apabila melakar kemenangan 6-4, 3-6, 7-6 (9/7) ke atas Tsitsipas yang juga pemain ranking nombor lima dunia dalam perlawanan yang penuh dramatik.

Kyrgios akan beraksi menentang pemain Russia, Daniil Medvedev di pentas final bagi perebutan gelaran juara.

Medvedev mara ke final selepas menundukkan pemain Jerman, Peter Gojowczyk 6-2, 6-2 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Ia akan menjadi pertemuan pertama membabitkan Kyrgios dengan Medvedev sepanjang kerjaya kedua-dua pemain terbabit.

Ketika ini, Kyrgios mencatat rekod 4-1 ke atas pemain kelompok 10 terbaik dunia dan mengintai peluang bagi meraih gelaran keenam ATP sepanjang kerjayanya dan yang pertama sejak Acapulco pada Mac lalu.

Sementara itu, saingan kategori wanita menyaksikan Camila Giorgi yang mara sehingga suku akhir Wimbledon akan turun dengan misi memburu gelaran ketiga WTA menentang pemain Amerika Syarikat, Jessica Pegula di pentas final.

Camila mengesahkan tempat ke final selepas menumbangkan Catherine McNally dari Amerika Syarikat 7-6 (7/5), 6-2 manakala Jessica mengatasi Anna Kalinskaya dari Russia 6-3, 3-6, 6-1 dalam aksi separuh akhir. – AFP

245 dibaca
Berita Harian X