Ahad, 4 Ogos 2019 | 2:38pm
Pemain perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia. - Foto AFP

Zii Jia tagih bimbingan tiga jurulatih

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia menagih bantuan tiga jurulatih, Datuk Misbun Sidek, Hendrawan dan Indra Wijaya bagi merealisasikan impiannya bergelar jaguh dunia.

Selepas mengharungi tiga minggu yang mencabar - beraksi dalam Terbuka Indonesia, Terbuka Jepun dan Terbuka Thailand - Zii Jia mengakui dia meraih pengalaman yang berharga dalam mencorakkan permainannya bagi menyaingi pemain utama dunia.

Di Indonesia, pemain berusia 21 tahun itu terkandas di suku akhir tetapi sebelum itu dia berjaya menumbangkan juara Olimpik, Chen Long di pusingan kedua tetapi perjuangannya di Jepun berakhir awal apabila tersingkir di pusingan pertama.

Zii Jia bagaimanapun bangkit apabila mara sehingga separuh akhir buat kali pertama tahun ini di Thailand sebelum tumbang di tangan pemain nombor tiga dari Taiwan, Chou Tien Chen 14-21, 20-22, semalam.

"Ia perlawanan yang sukar hari ini (menentang Tien Chen, semalam) dan malangnya saya gagal menamatkan set kedua dengan noktah kemenangan, terlalu banyak kesilapan yang saya lakukan.

"Tien Chen bermain dengan lebih yakin dan lebih berpengalaman berbanding saya. Saya perlu akui yang masih banyak perlu saya pelajari selepas mengharungi tiga kejohanan berturut-turut.

"Terima kasih kepada ketiga-tiga jurulatih saya, Misbun, Hendrawan dan Indra. Mereka banyak membantu saya, tidak kira di mana pun saya berada, saya hargai bantuan mereka dan bersyukur dapat berlatih di bawah ketiga-tiga jurulatih ini.

"Perjalanan saya masih jauh, tetapi saya yakin ketiga-tiga jurulatih ini akan membantu saya menjadi pemain yang saya mahukan,"  kata Zii Jia kepada BH Sukan.

Selepas dua tahun diletakkan di bawah bimbingan Misbun yang berjaya membentuk pemain itu sebagai bintang masa depan negara, Zii Jia kini dilatih Hendrawan menerusi penstrukturan yang dilakukan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bulan lalu.

Bagaimanapun, pemain itu secara terbuka sebelum ini masih mengharapkan bantuan Misbun termasuklah Indra.

Selepas ini, juara Terbuka Taiwan 2018 itu akan mengalihkan fokusnya dengan bakal membuat penampilan pertama Zii pada Kejohanan Dunia 2019 di Basel, Switzerland bermula 19 hingga 25 Ogos ini.

"Saya ada tempoh lebih kurang dua minggu untuk membuat persiapan. Sejujurnya saya teruja untuk beraksi pada Kejohanan Dunia buat kali pertama," katanya.

Undian kejohanan berprestij itu akan diadakan petang esok di ibu pejabat Persekutuan Badminton Dunia (BWF) di Kuala Lumpur.

Berita Harian X