Isnin, 5 Ogos 2019 | 9:53pm
Pemain perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia (kiri) mensasarkan persaingan di suku akhir Kejuaraan Dunia di Basel, Switzerland. - NSTP/Aswadi Alias

Zii Jia sasar aksi suku akhir

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia mensasarkan persaingan di suku akhir Kejuaraan Dunia di Basel, Switzerland yang dijadual berlangsung dari 19 hingga 25 Ogos ini. 

Berdasarkan undian yang dibuat di pejabat Persekutuan Badminton Dunia (BWF) hari ini, Zii Jia dijadual berdepan laluan yang agak baik dengan pusingan pertama bertemu pemain Brazil, Ygor Coelho. 

"Satu undian yang agak baik buat saya. Saya akan bertemu pemain Brazil pada pusingan pertama dan sekiranya berjaya ke pusingan kedua, saya mungkin bertemu pemain dari China. 

"Kemudian (sekiranya menang), akan bertemu Kenta Nishimoto, saya pernah menewaskan dia sebelum ini dan tentunya saya akan buat yang terbaik nanti," kata Zii Jia yang bakal membuat penampilan pertamanya di pentas Kejuaraan Dunia itu. 

Mengulas mengenai persaingan yang bakal diterimanya nanti, Zii Jia berkata: "Untuk perseorangan lelaki, semua pemain adalah sukar buat saya dan saya akan lakukan yang terbaik. 

"Harap akan ada berita baik dan satu keputusan yang bagus buat saya di sana nanti. Daripada sudut persiapan, seminggu sebelum ke Basel saya harap dapat mengekalkan kecergasan dan itu adalah sesuatu yang amat penting."

Sebelum ini, pemain pilihan ke-14 kejuaraan itu mengharungi tiga minggu mencabar di Terbuka Indonesia, Terbuka Jepun dan Terbuka Thailand, dalam usahanya menyaingi pemain utama dunia. 

Di Indonesia, pemain berusia 21 tahun itu terkandas di suku akhir tetapi sebelum itu berjaya menumbangkan juara Olimpik, Chen Long di pusingan kedua. Begitupun, perjuangannya di Jepun berakhir lebih awal apabila tersingkir di pusingan pertama.

Zii Jia bagaimanapun menunjukkan kebangkitan apabila mara sehingga separuh akhir buat kali pertama tahun ini di Thailand sebelum tumbang di tangan pemain nombor tiga dari Taiwan, Chou Tien Chen 14-21, 20-22.

Berita Harian X