Khamis, 8 Ogos 2019 | 9:13pm
PEMAIN perseorangan wanita negara, Soniia Cheah. NSTP/Owee Ah Chun.

Soniia 'pemangsa' bukan lagi 'mangsa'

 

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan wanita negara, Soniia Cheah bukan lagi pemain yang boleh dipandang mudah setiap lawannya selepas ini.

Peningkatan prestasi ditunjukkan pemain berusia 26 tahun itu khususnya dalam tiga kejohanan baru-baru ini memberikan petanda dia juga mampu menjadi 'pemangsa' berbanding 'mangsa' seperti yang sering dialaminya sebelum ini.

Tewas di pusingan kedua Terbuka Indonesia, Soniia bangkit melakar kejutan apabila menumbangkan bekas juara Olimpik 2012, Li Xue Rui di pusingan pertama Terbuka Jepun tetapi langkahnya terhenti  di pusingan kedua selepas tunduk kepada Chen Yu Fei.

Di Terbuka Thailand, minggu lalu anak didik Datuk Tey Seu Bock itu sekali mencuri tumpuan apabila menumbangkan pemain nombor tujuh dunia, He Bing Jiao di pusingan kedua sebelum cabarannya berakhir di suku akhir apabila tewas sekali lagi di tangan Yu Fei.

Bagi Seu Bock yang juga ketua jurulatih perseorangan wanita, beliau merasakan Soniia kini sudah tidak lagi gentar berdepan pemain utama dunia dan mahu anak didiknya itu meneruskan kecemerlangan apabila beraksi pada Kejohanan Dunia 2019 di Basel, Switzerland yang bermula 19 hingga 25 Ogos ni.

"Sebelum ini mungkin dia rasa kurang yakin apabila bertemu pemain utama dunia. Namun, saya dapat lihat tahap keyakinannya semakin meningkat sekarang dan dia bermain lebih selesa kerana dia tahu dia boleh lakukannya.

"Peningkatan ditunjukkan Soniia ini juga mungkin disebabkan dia mendapat rakan sepelatih yang lebih berkualiti apabila kini saya meminta bantuan bekas pemain perseorangan lelaki negara, Chong Wei Feng dan Chong Yee Han untuk berlatih dengan Soniia.

"Begitupun, saya perlu katakan yang jurang masih jauh jika dibandingkan dengan kelompok lima terbaik dunia dan itu dapat dilihat apabila dia dua kali kalah kepada Yu Fei (nombor tiga dunia). 

"Cuma, sekarang saya tidak mahu beri tekanan kepada dirinya. Saya bimbang jika tekanan berlebihan akan menyebabkan dia tidak boleh menunjukkan permainan sebenarnya," kata Seu Bock.

Di Basel, Soniia akan membuka tirai kempen menentang pemain Israel, Ksenia Polikarpova dan jika menang dia akan bertemu pilihan ke-12 dari Denmark, Mia Blichfeldt di pusingan kedua.

Andai berjaya mengatasi pemain Denmark itu, dia dijangka membuat perhitungan sekali lagi dengan Bing Jiao di pusingan ketiga.

1399 dibaca
Berita Harian X