Jumaat, 9 Ogos 2019 | 9:37pm
PEMAIN perseorangan wanita negara, Soniia Cheah. - Foto Eizairi Shamsudin

Laluan Soniia makin sukar

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan wanita negara, Soniia Cheah berdepan laluan lebih mencabar selepas undian semula diadakan untuk acara itu bagi saingan Kejohanan Dunia 2019 di Basel, Switzerland bermula 19 Ogos ini.

Tindakan itu terpaksa dilakukan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas badan induk itu tersalah menyenaraikan pemain yang layak beraksi ketika undian pertama diadakan, Isnin lalu.

Berbanding undian sebelum ini yang dianggap baik buat Soniia apabila dia hanya akan berdepan pemain pilihan jika layak ke pusingan ketiga, namun nasib tidak menyebelahi pemain berusia 26 tahun itu kali ini.

Ini kerana, pemain nombor sembilan dunia, Michelle Li dari Kanada akan menantinya andai mara ke pusingan kedua.

Soniia yang dibimbing Datuk Tey Seu Bock akan membuka tirai kempen menentang pemain Hong Kong, Yip Pui Yin di pusingan pertama berbanding diundi bertemu pemain Israel, Ksenia Polikarpova dalam undian sebelum ini.

Undian sebelum ini menyaksikan Soniia dijangka menentang pilihan keenam dari China, He Bing Jiao - lawan yang ditumbangkan di pusingan kedua Terbuka Thailand, minggu lalu - andai melangkah ke pusingan ketiga tetapi kini dia berkemungkinan bertemu pemain nombor tiga dunia, Chen Yu Fei juga dari China.

Soniia tewas dua kali dalam tempoh dua minggu di tangan Yu Fei ketika saingan Terbuka Jepun dan Terbuka Thailand yang turut mengakhiri cabarannya dalam kedua-dua kejohanan berkenaan.

Berita Harian X