Sabtu, 10 Ogos 2019 | 12:30am
JURULATIH perseorangan lelaki negara, Hendrawan. - Foto Owee Ah Chun

Saya tak mampu bersendirian - Hendrawan

KUALA LUMPUR: Jurulatih perseorangan lelaki negara, Hendrawan mengakui adalah mustahil untuknya bekerja seorang diri bagi membentuk Lee Zii Jia bergelar jaguh dunia.

Jurulatih dari Indonesia itu, berkata dia tetap memerlukan bantuan dan kerjasama daripada ketua jurulatih, Datuk Misbun Sidek dan seorang lagi jurulatih, Indra Wijaya bagi membantu meningkatkan prestasi pemain perseorangan lelaki nombor satu negara berkenaan.

"Tidak mungkin saya dapat bekerja secara sendiri (melatih Zii Jia), Datuk Misbun masih ketua jurulatih dan saya sentiasa berbincang dengannya.

"Ketika sesi latihan pula, tidak banyak bezanya seperti sebelum ini. Kami bekerja dalam satu pasukan.

"Mungkin apa yang saya boleh bantu adalah berkongsi pengalaman saya sebagai bekas pemain dengan Zii Jia serta pemain lain. Saya janji akan membantu Zii Jia sebaik mungkin," kata Hendrawan selepas sesi latihan skuad negara, hari ini.

Mengulas mengenai persiapan Zii Jia yang akan membuat penampilan pertama pada Kejohanan Dunia 2019 di Basel, Switzerland bermula 19 Ogos ini, Hendrawan tidak menolak peluang pemain kendaliannya itu untuk melakukan kejutan.

Bagaimanapun, jurulatih berusia 47 tahun itu lebih suka Zii Jia fokus satu demi satu perlawanan terutamanya aksi pusingan pertama menentang pemain Brazil, Ygor Coelho. 

"Bagi saya, perlawanan pertama adalah paling sukar walaupun menentang pemain tidak ternama. Ini kerana, perlawanan itu akan menjadi medan untuk pemain menyesuaikan diri dan jika silap langkah, boleh tersingkir dan ini sudah banyak kali berlaku termasuk membabitkan pemain utama.

"Zii Jia tidak boleh memandang mudah lawannya dari Brazil itu. Mereka tidak pernah bertemu tetapi apa yang saya tahu pemain berkenaan mempunyai karakter pejuang.

"Ini adalah kejohanan dunia pertama buat Zii Jia dan saya harap dia meraih pengalaman berguna. Fokus yang paling utama adalah layak ke Olimpik Tokyo 2020," katanya yang membantu Datuk Lee Chong Wei muncul naib juara dunia pada 2015 di Jakarta.

Berita Harian X