Jumaat, 23 Ogos 2019 | 12:31pm
Novak Djokovic ketika menjalani latihan menjelang Terbuka AS di Pusat Tenis Kebangsaan Billie Jean King, di New York City. - Foto AFP

Djokovic hadapi laluan sukar

NEW YORK: Juara bertahan Novak Djokovic berpeluang berdepan Roger Federer pada pusingan separuh akhir dan Rafael Nadal di final Terbuka Amerika Syarikat (AS) berdasarkan undian di Flushing Meadows.

Djokovic yang menewaskan Federer bulan lalu pada aksi final Wimbledon penuh epik untuk merangkul mahkota ke-16 Grand Slamnya, berada dalam bahagian sama undian dengan juara Grand Slam 20 kali yang juga pilihan ketiga kejohanan.

“Aksi final menentang Roger di Wimbledon mungkin adalah dua perlawanan terbaik yang pernah saya lalui,” kata Djokovic.

“Ia memberikan saya sedikit masa ... untuk kembali ke landasan sebenar.”

Satu lagi perlawanan yang dinyatakan pemain Serbia berusia 32 tahun itu adalah kemenangan lima set terhadap Nadal pada aksi final Terbuka Australia 2012.

Rekod pertemuan Djokovic menentang Federer adalah 26-22 dan 28-26 ke atas Nadal. 

Federer dan Nadal, yang tidak pernah bertembung di Terbuka AS, hanya dapat bertemu di final.

Djokovic yang menewaskan Juan Martin del Potro dalam final Terbuka AS tahun lalu akan beraksi menentang Roberto Carballes Baena dari Sepanyol yang berada di ranking ke-76.

Dia mungkin diuji Kevin Anderson dari Afrika Selatan atau Stan Wawrinka dari Switzerland di pusingan keempat dan berdepan pemain pilihan kelima Daniil Medvedev dari Russia di suku akhir. – AFP

Berita Harian X