Ahad, 25 Ogos 2019 | 11:05pm
KENTO Momota

Momota pertahan gelaran dunia

KUALA LUMPUR: Pemain nombor satu dunia, Kento Momota mempertahankan gelaran dimenanginya tahun lalu apabila muncul juara pada Kejohanan Badminton Dunia 2019 di Basel, Switzerland, hari ini.

Bintang sensasi Jepun itu nyata bukan tandingan buat pemain muda Denmark, Anders Antonsen apabila dia menang mudah 21-9, 21-3 dalam aksi final.

Ia adalah gelaran dunia kedua buat Momota selepas memenanginya buat kali pertama di Nanjing, China tahun lalu hasil kemenangan ke atas pemain China, Shi Yuqi.

Terdahulu, beregu wanita Jepun, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara turut merekodkan gelaran dunia buat kali kedua selepas edisi tahun lalu apabila menundukkan rakan senegara, Yuki Fukushima-Sayaka Hirota 21-11, 20-22, 23-21 dalam aksi final yang berlangsung selama 1 jam 25 minit.

Pemain perseorangan wanita nombor lima dunia, P V Sindhu akhirnya berjaya merasai nikmat bergelar juara dunia selain menjadi pemain India pertama meraih gelaran berkenaan selepas memenangi aksi final menentang pemain Jepun, Nozomi Okuhara 21-7, 21-7.

Sebelum ini, pemain berusia 24 tahun itu sekadar dua kali muncul naib juara iaitu pada edisi 2017 dan 2018.

"Saya dedikasikan pingat emas ini buat ibu saya (P Vijaya) yang menyambut ulang tahun kelahiran hari ini. Saya juga berterima kasih kepada jurulatih Pullela Gopichand dan seluruh pasukan di atas kejayaan ini," katanya yang sebelum ini menjadi pemain India pertama memenangi pingat perak pada Sukan Olimpik Rio 2016.

5487 dibaca
Berita Harian X