Selasa, 3 September 2019 | 11:06pm
Gambar fail, pemain perseorangan lelaki negara, Cheam June Wei . - Foto Muhaizan Yahya
Gambar fail, pemain perseorangan lelaki negara, Cheam June Wei . - Foto Muhaizan Yahya

June Wei sertai undian utama Terbuka Taiwan

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara, Cheam June Wei mempamerkan prestasi cemerlang apabila berjaya melepasi pusingan kelayakan Terbuka Taiwan, hari ini.

June Wei memulakan langkahnya dengan kemenangan ke atas pemain tuan rumah, Chen Chi Ting 21-18, 21-13 dalam perlawanan pertama sebelum mengesahkan tempat ke undian utama dengan menewaskan Lin Chun-Yi 21-17, 13-21, 21-17.

Pemain berusia 22 tahun yang menghuni ranking ke-78 dunia itu akan bertemu pemain Indonesia, Ihsan Maulana Mustofa pada aksi pusingan pertama, esok.

Sementara itu, beregu campuran profesional negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang diletakkan sebagai pilihan pertama kejohanan dipaksa bekerja keras sebelum mengesahkan tempat ke pusingan kedua.

Selepas tewas 17-21 di set pertama, pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016 itu bangkit dengan melakar kemenangan dalam dua set berikutnya 21-11, 21-11 ke atas gandingan Taiwan, Wang Chi Lin-Cheng Chi Ya dan mereka akan bertemu Do Tuan Duc-Pham Nhu Thao dari Vietnam, Khamis ini.

Satu lagi beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheah Yee See turut mara ke pusingan 16 terbaik selepas menewaskan pasangan tuan rumah, Lu Ching Yao-Lee Chia Hsin 21-13, 21-10.

Mereka dijangka berdepan cabaran sukar dalam perebutan tempat ke suku akhir apabila bertemu pilihan ketiga dari Indonesia, Hafiz Faizal-Gloria Emanuelle Widjaja.

Berita Harian X