Rabu, 4 September 2019 | 6:31pm
Pemain perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia. - Foto AFP

Zii Jia mula langkah kanan

KUALA LUMPUR: Lee Zii Jia memulakan misi mempertahankan kejuaraan Terbuka Taiwan dengan bergaya apabila merakam kemenangan 21-7, 21-17 ke atas pemain tuan rumah, Hsueh Hsuan Yi dalam aksi pusingan pertama, sebentar tadi.

Pemain perseorangan lelaki nombor satu negara itu akan meneruskan misinya dengan berdepan pemenang perlawanan antara pemain Thailand, Kunlavut Vitidsarn dengan Shesar Hiren Rhustavito dari Indonesia untuk aksi pusingan kedua, esok.

Tahun lalu, Zii Jia, 21, merekodkan pencapaian terbesar dalam kerjayanya apabila muncul juara Terbuka Taiwan buat kali pertama selepas menumbangkan pemain nombor satu tuan rumah, Chou Tien Chen dalam aksi final.

Sementara itu, dua lagi pemain perseorangan lelaki negara, Cheam June Wei dan Liew Daren turut mengesahkan tempat ke pusingan kedua selepas menewaskan lawan masing-masing.

June Wei yang bermula daripada pusingan kelayakan mara selepas menewaskan pemain Indonesia, Ihsan Maulana Mustofa 21-19, 21-15 dan akan bertemu Lin Yu Hsien dari Taiwan, esok.

Daren pula yang bergerak secara profesional menang ke atas pemain Jepun,  Yu Igarashi 21-18, 21-18 dan akan membuat perhitungan dengan Thomas Rouxel dari Perancis bagi perebutan tempat ke suku akhir.

Nasib bagaimanapun tidak menyebelahi tiga lagi wakil negara, Soong Joo Ven (perseorangan lelaki), Nur Izzuddin-Goh Sze Fei (beregu lelaki) dan Yap Rui Chen-Yap Yee (beregu wanita) apabila tersingkir di pusingan pertama selepas tewas di tangan lawan masing-masing.

Berita Harian X