Sabtu, 7 September 2019 | 11:02am
Aksi Danill Medvedev dari Russia ketika menentang Grigor Dimitrov dari Bulgaria pada separuh akhir Terbuka Amerika Syarikat, awal pagi tadi. - Foto USA TODAY

Medvedev, Nadal ke final Terbuka AS

NEW YORK: Pemain pilihan kelima dari Russia, Daniil Medvedev mara ke final Grand Slam buat kali pertama selepas menewaskan pemain ranking ke-78 dari Bulgaria, Grigor Dimitrov 7-6 (7/5), 6-4, 6-3 pada Terbuka Amerika Syarikat.

Medvedev akan menentang Rafael Nadal pada perlawanan akhir di Stadium Arthur Ashe selepas pemegang 18 gelaran Grand Slam itu menewaskan pemain ranking ke-24, Matteo Berrettini 7-6 (8/6), 6-4, 6-1.

“Akhirnya saya di sini selepas tiga set,” kata Medvedev. “Saya gembira berada di final.”

Jika pemain pilihan kedua, Nadal merangkul kemahkotaan keempat Terbuka AS awal pagi esok, dia hanya memerlukan satu lagi kemenangan bagi menyamai rekod sepanjang masa gelaran terbanyak Grand Slam yang menjadi milik Roger Federer. 

Medvedev, yang kini memperoleh rekod 20-2 dalam acara keempatnya di Amerika Utara, menewaskan Beretteni di Indian Wells tahun lalu.

“Ketika saya ke Amerika Syarikat, saya tak tahu ia akan menjadi sebegini baik,” kata Medvedev. “Jadi saya perlu katakan saya sayangkan AS.”

Medvedev adalah pemain Russia pertama yang mara ke final Grand Slam sejak Marat Safin memenangi gelaran Terbuka Australia 2005 dan juga pemain Russia pertama melangkah ke final Terbuka AS sejak Safin memenangi kemahkotaan 2000.

Pada usia 23 tahun, Medvedev adalah pemain ketiga yang dilahirkan di era 1990-an berjaya ke final Grand Slam selepas pemain Kanada, Milos Raonic dan Dominic Thiem dari Austria dan berpeluang menjadi pemenang Grand Slam pertama yang dilahirkan dari era berkenaan.

Nadal pula akan beraksi dalam final Grand Slam ke-27 sepanjang kariernya, dan kelima di New York untuk memburu gelaran Terbuka AS keempat dirinya, satu di belakang rekod lima kejuaraan yang dipegang bersama Federer, Pete Sampras dan Jimmy Connors.

Nadal menewaskan Medvedev di final Montreal bulan lalu dalam satu-satunya pertemuan antara mereka. Tetapi pemain nombor dua dunia itu tidak beraksi di Cincinnati, di mana Medvedev muncul juara pada minggu berikutnya. – AFP

 

Berita Harian X