Sabtu, 7 September 2019 | 11:07am
Gaya Bianca Andreesu dari Kanada sewaktu menentang Belinda Benicic dari Switzerland pada perlawanan separuh akhir Terbuka Amerika Syarikat, semalam. - Foto USA TODAY Sports

Andreescu bakal jadi nombor satu

NEW YORK: Jurulatih juara Grand Slam 23 kali Serena Williams, Patrick Mouratoglou, meramalkan lawan pada final Terbuka Amerika Syarikat, Bianca Andreescu sebagai bakal pemain wanita nombor satu dunia satu hari nanti.

Williams memburu kemahkotaan Grand Slam kali ke-24 bagi menyamai rekod Margaret Court dari Australia, tetapi Mouratoglou berkata dia menghormati Andreescu yang baru berumur 19 tahun itu.

“Saya berkata sebelum kejohanan ini, saya ditanya siapakah pemain bukan pilihan yang bakal menyerlah, dan saya kata Bianca dan (Daniil) Medvedev. Jadi saya tak terkejut dia di sini,” kata Mouratoglou.

“Saya jangkakan dia (Andreescu) di final, dan saya rasa dia akan menjadi nombor satu tak lama lagi. Bukan terlalu cepat tetapi di masa hadapan, kerana dia mempunyai semua yang diperlukan untuk menjadi nombor satu.

“Saya sangat menghormatinya. Banyak yang dipamerkan dalam permainannya. Dia mempunyai pakej lengkap seperti permainan mengagumkan, fizikal, kecergasan dan mental. Dia kelihatan sangat mengagumkan. Dia rasakan seperti mana dia sepatutnya berada. Itu adalah apa yang ditunjukkan.”

Williams tewas tiga final Grand Slam sejak gelaran major terakhir pada Terbuka Australia 2017, tetapi Mouratoglou yakin dia dapat merangkul kejayaan dalam percubaan keempatnya.

“Apabila anda bermain di final Grand Slam, akan ada banyak emosi terbabit. Jadi ada banyak emosi untuk semuanya termasuklah Serena dan juga semua juara lain,” katanya. – AFP

 

755 dibaca
Berita Harian X