Sabtu, 7 September 2019 | 4:48pm
Beregu lelaki profesional negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong. - Arkib NSTP

V Shem-Wee Kiong gah ke final

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki profesional negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong kembali mempamerkan bisa mereka apabila mengesahkan tempat ke final Terbuka Taiwan, sebentar tadi.

Kejayaan itu hadir selepas pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016 itu menang ke atas pasangan berpengalaman Denmark, Mathias Boe-Mads Conrad Petersen 18-21, 21-11, 21-12 dalam aksi separuh akhir yang berlangsung selama 56 minit.

Selepas bergelut dengan prestasi tidak menentu sepanjang saingan tahun ini, final kali ini adalah yang kedua buat V Shem-Wee Kiong sejak Masters Thailand, Januari lalu yang turut menyaksikan mereka bergelar juara.

Pasangan ranking ke-15 dunia itu akan membuat perhitungan dengan pemenang perlawanan antara beregu Korea Selatan, Choi Solgyu-Seo Seung Jae dengan Lee Yang-Wang Chi Lin dari Taiwan pada aksi final esok.

Sementara itu, nasib tidak menyebelahi beregu campuran profesional negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying apabila terkandas di separuh akhir.

Walaupun tampil sebagai pilihan pertama namun mereka terpaksa akur apabila tewas kepada pilihan keempat, Tang Chun Man-Tse Ying Suet dari Hong Kong 10-21, 17-21.

2790 dibaca
Berita Harian X