Rabu, 11 September 2019 | 11:52pm
PENGERUSI Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T), Datuk Kenny Goh. NSTP/Owee Ah Chun.

BAM perkenal Projek 24

KUALA LUMPUR: Seperti dijangka, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tampil dengan sasaran baharu apabila memperkenalkan Projek 24.

Misi utamanya adalah memenangi pingat emas pada Sukan Olimpik Paris 2024 dan mara ke final Piala Thomas pada tahun yang sama.

Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T), Datuk Kenny Goh bagaimanapun berkata, ia tidak bermakna Olimpik Tokyo 2020 dilupakan namun ia lebih kepada medan untuk badan induk itu membuat penilaian ke atas pemain. 

"Kita tidak lupakan Olimpik 2020, kami percaya dalam setiap perjalanan akan ada persinggahan. Persinggahan ini sangat penting bagi kami menilai pencapaian pemain,” kata Kenny.

"Tidak akan ada pemain yang sering kalah mampu berjaya pada edisi 2024. Secara logiknya ia tidak akan berlaku seperti itu. Jadi tahun 2020, 2021, 2022, 2023 akan ada persinggahan (kejohanan besar) yang sangat penting buat kita."

Mengulas lanjut, Kenny turut memberitahu jawatankuasa itu juga memperkenalkan struktur kejurulatihan yang baharu merangkumi tiga kumpulan iaitu lelaki, wanita dan beregu campuran.

Pemain lelaki akan diketuai Datuk Misbun Sidek manakala Datuk Tey Seu Bock akan memimpin pemain wanita sementara Chin Eei Hui diberi peranan mengetuai beregu campuran.

"Struktur baru ini adalah untuk memberi fokus kepada acara berpasukan, supaya tidak berlaku lagi perkara sebelum ini di mana kita hanya mengharapkan Datuk Lee Chong Wei dan Koo Kien Keat bagi menyumbang mata.

"Mana-mana pemain yang tidak mencapai sasaran, kami akan lepaskan. Ini termasuklah pemain senior.

"Kami bukan saja mahu mengubah struktur tetapi kami mahu menerapkan budaya dan cara pemikiran yang baharu," katanya.

555 dibaca
Berita Harian X