Jumaat, 13 September 2019 | 8:41pm
Muhammad Fazriq terlepas ‘tiket’ ke Kejohanan Remaja Dunia di Kazan, selepas gagal memikat barisan kejurulatihan negara. - NSTP/Adzlan Sidek

Fazriq terlepas tiket Kejohanan Remaja Dunia

KUALA LUMPUR: Bintang badminton remaja sedang meningkat, Muhammad Fazriq Mohamad Razif terlepas ‘tiket’ ke Kejohanan Remaja Dunia di Kazan, Rusia selepas gagal memikat barisan kejurulatihan negara.

Senarai diumumkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), hari ini menyaksikan nama anak legenda negara, Razif Sidek tercicir daripada skuad 19 pemain itu.

Sebaliknya, kem badminton negara kali ini bakal diketuai juara Terbuka Remaja Malaysia, Yap Roy King dan Ooi Jhy Dar.

Turut disenaraikan jurulatih Kwan Yoke Meng adalah pemain yang bergerak sendirian K Letshanaa dan Arena Satu Samin.

Menurut Yoke Meng, hanya pemain yang benar-benar menunjukkan prestasi cemerlang dalam sesi ujian percubaan saja terpilih kali ini.

"Untuk tahun ini, senarai pendek diputuskan berdasarkan sesi percubaan dengan yang beraksi baik saja dipilih,” kata Yoke Meng.

"Saya rasa ini adalah pilihan barisan muda terbaik yang kita miliki. Ia adalah kelompok pemain gabungan senior seperti Roy King, Jhy Dar, Ching Kai Feng dan Lwi Sheng Hao yang berusia 18 tahun.

"Selebihnya pemain berusia 16 dan 17 tahun. Kami tidak melakukan dengan baik di Kejuaraan Remaja Asia apabila terkandas di peringkat kumpulan. Untuk kali ini undian memihak kami,"

Bagaimanapun, Yoke Meng mengingatkan anak buahnya supaya tetap berhati-hati dengan tuan rumah Russia serta Hong Kong dalam aksi kumpulan nanti.

Nama Fazriq, 15, hangat diperkatakan selepas menggoncang arena badminton tempatan dengan kejayaan muncul juara acara perseorangan dan beregu lelaki bawah 16 tahun kejohanan badminton Sirkit Remaja Kebangsaan Grand Prix Final di Kelab Rekreasi Cina, Seremban, Julai lalu.

Berita Harian X