Selasa, 24 September 2019 | 10:39pm
Pasangan beregu campuran negara, Chan Peng Soon bersama Goh Liu Ying. - NSTP/Syarafiq Abd Samad
Pasangan beregu campuran negara, Tan Kian Meng dan Lai Pei Jing. - NSTP/Syarafiq Abd Samad

Peng Soon-Liu Ying, Kian Meng-Pei Jing kandas awal

KUALA LUMPUR: Dua pasangan beregu campuran negara terkandas seawal pusingan pertama Terbuka Korea selepas tewas di tangan lawan masing-masing hari ini.

Paling mengejutkan kekalahan beregu campuran profesional, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang tunduk di tangan Nipitpho Phuangphuapet-Savitree Amitrapai.

Pilihan kelima kejohanan gagal menemui permainan sebenar mereka apabila terpaksa akur dengan kekalahan 12-21,10-21 dalam tempoh 33 minit.

Minggu lalu, Peng Soon-Liu Ying yang juga pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016 ditunjukkan jalan keluar di pusingan kedua Terbuka China selepas tewas kepada pasangan Indonesia, Tontowi Ahmad-Winny Oktavina Kandow.

Nasib sama turut dialami Tan Kian Meng-Lai Pei Jing apabila mereka turut tersingkir di pusingan pertama selepas tewas kepada Lu Kai-Lu Chen dari China 21-11, 19-21, 13-21.

Ini adalah kekalahan pusingan pertama kedua berturut-turut dialami pasangan ke-25 dunia itu selepas mengalami kegagalan sama pada saingan Terbuka China, minggu lalu.

Ketika itu, mereka dikejutkan dengan kekalahan di tangan beregu Indonesia, Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari.

Esok, 11 lagi wakil negara akan turun beraksi untuk aksi pusingan pertama diketuai perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia yang akan menentang pemain Thailand, Suppanyu Avihingsanon.

Aksi Liew Daren bertemu juara dunia lima kali, Lin Dan dijangka turut menjadi tumpuan.

Berita Harian X