Rabu, 9 Oktober 2019 | 4:51pm
ISTERI Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali menerima cenderahati daripada pengarah program, Rashid Sidek pada majlis pelancaran Program Juara Tangkis Tun Dr Siti Hasmah di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Syarafiq Abd Samad

Program Juara Tangkis Tun Dr Siti Hasmah dilancar

KUALA LUMPUR: Lapan legenda badminton negara akan mencurahkan ilmu bagi merealisasikan Program Juara Tangkis Tun Dr Siti Hasmah dengan mereka akan mencari dan melatih bakat baharu bagi melahirkan jaguh masa depan.

Program anjuran Akademi Badminton Sports Affairs itu akan menghimpunkan lapan bekas pemain kebangsaan yang membarisi skuad juara Piala Thomas 1992 dan Olimpian iaitu Foo Kok Keong, Cheah Soon Kit, Rahman Sidek, Ong Ewe Hock, Roslin Hashim, Zakry Latif, Koo Kien Keat dan Woon Khe Wei

Pengarah program, Rashid Sidek, berkata idea berkenaan tercetus selepas melihat ramai bekas pemain di luar yang mampu untuk berkongsi ilmu dan pengalaman kepada bakat muda.

"Kita jadikan semua lapan bekas pemain ini sebagai mentor dan mereka akan melakukan sesi pemilihan melalui program jelajah ke beberapa negeri dalam mencari bakat muda," katanya dalam sidang media ketika majlis pelancaran program di sini, hari ini.

Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali; Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria dan Presiden Sports Affairs, Raezal Hussein.

Rashid, berkata pemain yang terpilih akan diserapkan dalam lapan pasukan yang dibarisi 12 pemain untuk berentap pada kejohanan akhir Piala Juara Tangkis Tun Dr Siti Hasmah yang akan berlangsung pada Disember depan.

"Kita juga bukan hanya pilih berdasarkan negeri yang dinyatakan saja (Kedah, Pahang, Johor, Sarawak, Sabah dan Kuala Lumpur) tapi turut membabitkan negeri lain.

"Selepas tamat aksi final Disember depan kita akan bincang semula dengan setiap lapan legenda ini untuk memilih pemain yang layak bermain di Akademi Sports Affairs," kata Rashid.

Berita Harian X