Rabu, 9 Oktober 2019 | 4:55pm
ISTERI Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali hadir pada majlis pelancaran Juara Tangkis Tun Dr Siti Hasmah di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Syarafiq Abd Samad

Siti Hasmah kongsi cerita perselisihan Soon Kit-Beng Kiang pada 1992

KUALA LUMPUR: Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali hari ini mendedahkan yang beliau terpaksa menjadi orang tengah bagi menyelesaikan perselisihan faham membabitkan dua pemain beregu lelaki negara, Cheah Soon Kit dan Soo Beng Kiang sebelum ini.

Isteri Perdana Menteri itu, berkata ia antara konflik yang berlaku di sebalik kejayaan Malaysia muncul juara Piala Thomas pada 1992 yang juga kali terakhir dilakar skuad badminton negara.

"Dua pemain ini, mereka bergaduh antara satu sama lain. Saya terpaksa berjumpa dengan Soon Kit dan mengatakan kepadanya 'Soon Kit, kamu tidak akan mendapat pasangan lain selain daripada Beng Kiang'.

"Selepas itu, saya bertemu pula dengan Beng Kiang dan mengatakan kepadanya, 'Tiada pasangan lain tetapi Soon Kit, jadi kamu perlu bermain bersama.

"Mereka akhirnya berpasangan dan membantu Malaysia menjuarai Piala Thomas. Saya menyayangi mereka semua kerana mereka menghormati saya sebagai ibu.

“Saya tidak akan melupakan detik manis Malaysia muncul juara ketika itu," kata Dr Siti Hasmah ketika berucap pada majlis pelancaran Juara Tangkis Tun Dr Siti Hasmah di sini, hari ini.

Turut hadir, Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria; Presiden Akademi Badminton Sport Affairs, Raezal Hussein dan Pengarah Program Juara Tangkis, Rashid Sidek.

Pada aksi final Piala Thomas 1992, skuad badminton negara merekodkan gelaran kelima apabila muncul juara dengan menewaskan Indonesia 3-2.

Dalam aksi itu, gandingan Soon Kit-Beng Kiang turut menyumbangkan mata kepada pasukan apabila menewaskan pasangan Ricky Subagja-Rexy Mainaky dalam perlawanan tiga set 15-12, 10-15, 15-8.

Soon Kit yang ditanya pemberita selepas itu mengenai pendedahan dibuat Dr Siti Hasmah secara berseloroh berkata ia adalah cerita lama tetapi mengakui memang berlaku perselisihan faham dengan Beng Kiang disebabkan tekanan mereka sebagai pemain.

Dalam pada itu, Dr Siti Hasmah sempat berkongsi nasihat buat pemain muda mengenai resipi bagi mencapai kejayaan dalam sukan badminton.

"Ramai orang bertanya kepada saya apa yang saya lakukan ketika saya menjadi penaung (BAM). Saya menjawab saya tidak melakukan apa-apa. Aspek teknikal saya serahkan kepada jurulatih serta pemain dan tanggungjawab saya adalah menjadi ibu kepada mereka semua.

"Pemain yang mahu jadi juara dalam badminton, pertama sekali mereka ada hati dan minat. Selepas itu, perlu bekerja keras, mendengar arahan jurulatih dan berdisiplin," kata Dr Siti Hasmah yang memberitahu beliau 'bersara' daripada bermain badminton pada usia 75 tahun kerana mengalami kecederaan bahu.

Berita Harian X